Thursday, March 29, 2012

Wahabi Sesat !!!

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...

Insya-Allah, dlm penulisan kali ini ana ingin berkongsi sedikit tentang gelaran yang tidak asing lagi dalam dunia dakwah ini. Mungkin para pembaca akan berfikir apa itu WAHABI???


Mungkin sesetengah orang sudah sinonim dengan gelaran ini. Ana pon kadang-kadang terpikir bagaimana gelaran ini boleh wujud???

Biiznillah, ana akan cuba menerangkan serba sedikit tentang WAHABI ini. Adakah ia satu kumpulan atau satu gerakan yang ingin menghancurkan Islam??? (Ini yang sering kita dengar)

Gelaran WAHABI ini sering digunakan oleh para asatizah yang tidak ilmiah dalam menyampaikan dakwah mereka iaitu apabila sesuatu amalan mereka bertentangan dengan para asatizah yang lain berpandukan al-Quran dan as-Sunnah, maka keluarlah labelan WAHABI ini. Di Malaysia, WAHABI ini dipandang serong oleh sesetengah masyarakat apabila seseorang agamawan memberi pandangan agama yang bukan menjadi perkara biasa  diketahui oleh golongan agamawan tempatan tradisonal, maka ia dituduh WAHABI.

Sedangkan orang yang melabelkan gelaran WAHABI itu pun tidak mengetahui apa itu WAHABI. Apabila ditanya apa itu WAHABI mereka pon tiada jawapan untuk diberikan.

Di samping itu, pelbagai jawapan juga akan diberikan oleh mereka-mereka yang tiada hujah ini seperti:

  • Tidak melakukan qunut
  • Tidak membaca tahlil
  • Belajar di Arab Saudi
  • Tidak bermazhab
  • Tidak membaca yasin pada malam jumaat
  • Tidak berzikir selepas solat
  • Pengikut Muhammad bin Abdul Wahab
-Dalam bab qunut ulama' khilaf tentangnya bukanlah seseorang yang tidak membaca qunut adalah WAHABI kerana mazhab-mazhab yang lain juga demikian seperti Imam Ahmad bin Hanbal(mazhab Hanbali) dan Imam Abu Hanifah(mazhab Hanafi). Adakah mereka juga WAHABI???

-Dalam bab tahlil pula, mudah sahaja jawapan saya. Tahlil bermaksud mengucap "لا إله إلا الله ", tahmid bermaksud "الحمد لله", dan tasbih bermaksud "سبحان الله". Mustahil mereka yang dituduh WAHABI tidak menyebutnya kerana setahu ana ustaz-ustaz yang dilabelkan sering menyebut-menyebutnya sekiranya tidak mereka sudah dikira kafir. Bahkan imam-imam di Arab Saudi(yang dituduh WAHABI) penghafaz al-Quran yang hebat dan bacaan mereka diperdengarkan di sana sini, adakah mereka WAHABI.


Bacaan tahlil di Malaysia kebiasaan akan disediakan makanan, sekiranya kita sebagai orang melayu pasti mengetahui siapa yang menyediakan makanan tersebut. Tidak lain tidak bukan keluarga si mati yang menyediakan makanan serta mengeluarkan sedikit harta untuk menjemput ustaz untuk membacakan tahlil. Di samping itu ustaz yang dijemput juga mendapat ongkos daripada keluarga si mati. Jangan berbohong bahawa perkara ini tidak berlaku kerana ia juga berlaku dalam keluarga ana sendiri, sekiranya ada di tempat lain yang tidak berlaku sedemikian, alhamdulillah ana ucapkan.

Perkara ini juga bertentangan dengan mazhab(asy-Syafie) yang kononnya dianuti oleh mereka yang suka melabel ini. Imam an-Nawawi ulama' yang bermazhab Syafie menyebut "adapun menyediakan makanan oleh keluarga si mati dan menghimpunkan orang ramai kepadanya adalah tidak diriwayatkan daripada Nabi sallallahu'alaihi wasallam sedikitpun. Ia adalah bid'ah yang tidak disukai"(al-Nawawi, al-Majmu' Syarh al-Mahazzab 5/320 Beirut: Darul Fikr).

Ini pula ana bawakan kata-kata Imam asy-Syafie di dalam kitab al-Umm:"Aku menyukai para tetangga si mati dan kaum kerabatnya membuat makanan untuk keluarga si mati pada hari kematiannya dan malam harinya yang sekiranya dapat mengenyangkan mereka, kerana yang sesungguhnya yang demikian mengikuti (sunnah) Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam".


-Sesiapa yang belajar di Arab Saudi dan tidak bermazhab adalah WAHABI??? Ini adalah hujah yang dangkal. Setahu ana di Arab Saudi mereka menggunakan mazhab Hanbali adakah mereka ini WAHABI, Allahul musta'an. Tidak mungkin masjid an-Nabawi dan masjid al-Haram didiami dan diimami oleh golongan yang sesat, sedangkan orang yang tidak belajar di Arab Saudi juga dituduh WAHABI. Adakah ini sahaja poin yang para melabel ada?!!

-Masyarakat melayu juga sinonim dengan bacaan yasin pada malam jumaat. Apabila ada agamawan yang mengata perkara ini tidak ada dalam nas, mereka pun dituduh WAHABI. Sedangkan hadis yang sering mereka guna tentang bacaan Yasiin ini adalah hadis yang dhaif bahkan maudhu di sisi ulama'. Kenapa mereka yang melabel ini tidak berpegang dengan hadis bacaan surah al-Kahfi pada malam jumaat berbanding bacaan surah Yasiin kerana hadis ini lebih diterima. Walaupun bagi ana tidak perlu mengkhususkan bacaan al-Quran pada hari-hari tertentu kerana al-Quran adalah untuk dibaca, difahami dan ditadabbur. Wallahu'alam

-Berkaitan dengan tidak berzikir selepas solat pula, sekiranya anda ingin tahu bahawa Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam juga kadang-kadang tidak berzikir atau wirid selepas solat fardhu sebagaimana diceritakan oleh sahabat Baginda yang bernama Jabir bin Yazid Ibn Aswad:
"Jabir bin Yazid Ibn Aswad berkata, dari ayahnya bahawa dia pernah solat bersama Nabi sallallahu'alaihi wasallam dalam solat subuh, setelah selesai solatnya, Baginda segera tinggalkan tempat solatnya".(Shahih Sunan an-Nasaie, no.1333)
Terdapat juga dalam riwayat yang lain dari Ummu Salamah dinyatakan bahawa:
"Ummu Slamah isteri Nabi sallallahu'alaihi wasallam berkata: Rasulullah apabila memberi salam setelah solatnya, kaum wanita berdiri setelah Baginda menyelesaikan salamnya, sedangkan Nabi sallallahu'alaihi wasallam diam sebentar di tempatnya".(Shahih Bukhari, no.849)
Ini menunjukkan bahawa tidak berzikir selepas solat tidaklah salah dan berzikir juga tidak salah kerana terdapat juga hadis-hadis mengenai zikir-zikir yang shahih daripada Nabi sallallahu'alaihi wasallam selepas solat. Jangan kerana kita tidak bersefahaman kita mulalah melabel tanpa bukti yang kukuh. Dalam al-Quran juga Allah ada berfirman dalam surah al-'Araaf ayat 55:
"Berdoalah kepada Tuhanmu dengan rendah hati dan suara yang lemah lembut. Sesungguhya Dia tidak menyukai orang yang melampaui batas".
Ayat di atas memberitahu kita supaya merendahkan bacaan doa atau zikir kerana Allah subhanahu wa ta'ala maha mendengar. Kadang-kadang apabila seseorang zikir atau berdoa secara sirr akan dituduh juga sebagai WAHABI kerana sombong pada Tuhan. Ada juga disesetengah tempat berzikir bagai nak runtuh masjid katanya untuk mendapat zuq. Sedangkan Kitabullah sudah menerangkan cara untuk berdoa atau berzikir dengan suara yang lembut dan rendah diri, paling penting sekali adalah hati yang ikhlas. Wallahu'alam.

-Tuduhan yang sering mereka label kepada WAHABI ialah pengikut Muhammad bin Abdul Wahab. Siapakah Muhammad bin Abdul Wahab??? ana sendiri pun tidak mengetahui sangat tentang Muhammad bin Abdul Wahab ini. Setahu ana beliau adalah mujaddid pada zaman beliau, wallahu'alam.

Adakah benar WAHABI pengikut Muhammad bin Abdul Wahab???

Mari kita tengok komen Dr. Yusuf al-Qardhawi mengenai Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab dalam Fiqh Aulawiyat:"Bagi al-Imam Muhammad Ibn Abd al-Wahab di Jazirah Arab perkara akidah adalah menjadi keutamaannya untuk memelihara benteng tauhid dari syirik yang telah mencemari pancaran tauhid dan dikotori kesuciannya. Beliau telah menulis buku-buku dan risalah-risalah dalam perkara tersebut. Beliau bangkit menanggung bebanan secara dakwah dan praktikal dalam memusnahkan gambaran-gambaran syirik".(m.s. 263, cetakan Maktabah Wahbah, Mesir)

Adakah Dr. Yusuf al-Qardhawi WAHABI??? pikir-pikirkanlah...

Bahkan Dr. Wahbah al-Zuhaili juga memujinya dengan menyebut: “Sesuatu yang tiada syak padanya, menyedari hakikat yang sebenar, bukan untuk meredhakan sesiapa, berpegang kepada ayat al-Quran yang agung (maksudnya) “Jangan kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-haknya (Surah Hud: 85),bahawa suara kebenaran yang paling berani, pendakwah terbesar untuk islah (pembaikian), membina umat, jihad dan mengembalikan individu muslim kepada berpegang dengan jalan al-salaf al-salih yang terbesar ialah dakwah Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab pada kurun yang kedua belas hijrah. Tujuannya untuk mentajdidkan kehidupan muslim, setelah secara umum dicemari dengan berbagai khilaf, kekeliruan, bid’ah dan penyelewengan. Maka Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab ialah pemimpin kebangkitan agama dan pembaikian (islah) yang dinantikan, yang menzahir timbangan akidah yang bersih..” (Rujukan: Dr Wahbah al-Zuhaili, Risalah Mujaddid al-Din fi Qarn al-Thani ‘Asyar, m.s 57-58).


Adakah Dr. Wahbah az-Zuhaili juga WAHABI??? pikir-pikirkanlah...


Antara kata-kata Dr. MAZA yang ana ambil daripada laman web beliau tentang tuduhan WAHABI ini:

Adalah malang jika medan perbahasan ilmiah dijadikan medan fitnah memfitnah. Apatah lagi jika yang terlibat itu golongan agama. Kita sepatutnya hanya berada dalam sempadan fakta dan angka sahaja. Jangan terbabas ke peringkat tuduh menuduh secara tidak berakhlak. Umpamanya, memang benar kita dalam beberapa pandangan hukum, mengambil selain dari mazhab al-Syafi’i. Ini beradarkan kajian atau tarjih yang disandarkan kepada ulama lain. Di Malaysia pun memang banyak hukum yang tidak berpegang dengan mazhab al-Syafi’i, terutamanya dalam fiqh muamalat.
Lihat sahaja hukum-hakam zakat di negara ini. Namun ini bukan bererti kita menghina al-Imam al-Syafi’i. Malang sebahagian yang berniat jahat membuat fitnah kononnya kita menghina Imam kita yang agung itu. Sedangkan saya sendiri pada Julai 2004 telah menulis tentang keagungan al-Imam al-Syafi’i dalam majalah ini dan demikian juga dalam buku-buku saya. Bahkan ada yang membuat cerita kononnya ingin dibakar kitab-kitab mazhab dan inilah wahabi. A'uzu billahi min dzalik (pohon perlindungan dengan Allah dari itu semua).
Benarlah kata Kata Muhammad bin Salih al-‘Ali: “Kebiasaannya, taksub kepada sesuatu pandangan atau mazhab membawa kepada sejenis sikap keras terhadap sesiapa yang menyanggahi pandangan dan mazhabnya. Inilah yang berlaku kepada sebahagian pengikut mazhab fiqh yang lidah mereka petah (mencerca) sesiapa yang berbeza dengan mereka…Orang yang taksub terlindung dari penilaian secara ilmiah dan berhati-hati dalam hukuman. Dia tidak melihat melainkan keburukan dan kesilapan orang yang berbeza dengannya. Ini membawanya kepada sikap keras, mengkritik dan menyakiti..” (rujukan: Muhammad bin Salih bin Yusuf al-‘Ali, Insaf Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah m.s. 113-114, Jeddah: Dar al-Andalus al-Khadra`).
Akhir sekali, syukran kepada sesiapa yang sudi membaca blog ana ini. Penulisan ini ana ambil daripada artikel Dr. Maza yang bertajuk "Katakan Tidak Pada Wahabi", ana juga ada membaca buka yang ditulis oleh cikgu Mohd Hairi Nonchi juga bertajuk "Katakan Tidak Wahabi" yang pernah dibaca 2 tahun lepas. Terdapat juga penambahan, suntingan dan pengubahsuaian daripada ana yang dhaif ini dalam penulisan ini. Semoga kita sama-sama dapat mengambil pengajaran serta semoga kita mendapat rahmat serta keampunan daripada Allah subhanahu wa ta'ala. Ameen.

1 comment:

  1. masyaAllah, penulisan ilmu yang baik (y),..keep writing akhi

    ReplyDelete