Thursday, January 17, 2013

Sifat Malu

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


Setiap insan atau manusia mempunyai satu fitrah yang merupakan cabang daripada cabang-cabang iman iaitu sifat malu. Perkara ini sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam : "فإن الحياء من الإيمان" yang bermaksud: "sesungguhnya malu itu sebahagian daripada iman". [1]

Setiap manusia pasti akan ada sifat malu walaupun kadang-kadang tidak tahu malu. Ia merupakan fitrah bagi manusia sama ada lelaki atau wanita. Malu juga perlu kena pada tempatnya. Bukanlah bermaksud malu itu perlu setiap waktu sehingga menyebabkan menyusahkan diri sendiri dan orang lain.

Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam pernah bersabda: "الحياء لا يأتي الا بخير", bermaksud: "malu itu tidak datang melainkan dengan kebaikan". [2] Sifat malu ini dapat mencegah seseorang melakukan perbuatan mungkar seperti seorang wanita atau seorang lelaki dapat menjaga batas pergaulan dengan sifat malu ini iaitu tidak terlalu rapat yang kadang-kadang boleh menyebabkan masalah sosial bahkan setiap orang yang dibukakan aibnya pasti akan merasa malu terutamanya aib tentang kejahatan yang dilakukan.

Contoh teladan yang dapat kita contohi daripada sifat malu ini tidak lain tidak bukan daripada rasul junjungan kita Muhammad sallalahu'alaihi wasallam. Sebagaimana dalam hadith, kata Abu Sa'id al-Khudri radhiyallahu 'anh: "كان النبي صلى الله عليه وسلم أشد الحياء من العذراء في خدرها", bermaksud: "Bahawasanya Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam lebih dahsyat malunya daripada anak-anak dara dalam kelambunya". [3]

Malulah kalian dengan Tuhan kamu kerana dengan sifat malu ini kita akan menjadi patuh dan taat akan perintahnya kerana malu melakukan perkara yang dibenci oleh-Nya. Sifat malu juga menunjukkan akhlak seseorang dalam setiap  tindak tanduknya kerana sekiranya manusia tidak ada sifat malu mereka akan melakukan apa sahaja tanpa segan silu. Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam bersabda: "إن لكل دين خلقا وخلق الإسلام الحياء", yang bermaksud: "sesungguhnya setiap agama mempunyai akhlak dan akhlak bagi orang Islam adalah sifat malu". [4]

Lihatlah bagaimana sifat malu dapat menjaga akhlak seseorang serta merupakan sifat yang penting perlu ada dalam diri setiap muslim samaada lelaki ataupun wanita. Tanamlah sifat malu dalam diri agar dapat mencegah kita daripada melakukan perkara mungkar atau yang dibenci oleh Allah jalla wa 'ala.


[1] HR Bukhari dan Muslim

[2] HR Bukhari

[3] HR Bukhari

[4] HR Ibnu Majah, hadith hasan