Wednesday, March 21, 2012

Kenapa Dakwah Sunnah Tidak Diterima Dalam Masyarakat???

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...


Semestinya sesiapa yang membaca tajuknya pasti akan tertanya...
"Kenapa dakwah sunnah tidak diterima pulak, habis tu apa yang disampaikan oleh ustaz-ustaz sekarang ni bukan sunnah ke???"

Bukan itu maksudnya di sini, akan tetapi apa yang dimaksudkan ialah dakwah yang berpandukan al-Quran dan as-Sunnah berdasarkan pemahaman salafussoleh. Salafussoleh ialah orang yang berada pada tiga kurun yang awal iaitu Sahabat, Tabi'in & Tabi' Tabi'in. Sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam:
                                          "خير الناس قرني ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم"
Mafhumnya:"Sebaik-baik kurun adalah kurunku kemudian kurun selepasnya kemudian kurun selepasnya."(HR Bukhari & Muslim)                              
                 
Orang yang mengikuti mereka yang disebut di dalam hadis di atas dipanggil sebagai "salafi". Panggilan salafi ini mungkin sudah makin glamour pada masyarakat akan tetapi dakwah yang dibawa dipandang serong oleh masyarakat. Sebabnya kenapa???                                  

Ana ada bertanya tentang perkara ini kepada sahabat ana beliau telah menerangkan sebab-sebabnya, antara sebab-sebabnya ialah:

  •  Kaedah penyampaian dakwah: Dakwah Sunnah sering dipandang seorang disebabkan cara penyampaian dakwah yang agak keras. Kebanyakannya aku lihat berbicara soal bidaah dan mengharamkan (tanpa aku menafikan betapa pentingnya isu ini). Sebaiknya elok jika diseimbangkan antara keduanya. Kita sebarkan sebanyak mungkin hadis-hadis anjuran beramal mengikut Sunnah secara permulaan. Kemudian apabila orang ramai sudah memahami Sunnah dan cuba mengamalkannya, kita sampaikan pula hadis-hadis ancaman meninggalkan Sunnah.

  •  Sikap segelintir 'pendakwah Sunnah': Kalau kita dapat lihat,sebahagian mereka yang menisbahkan diri kepada Dakwah Sunnah ini sering mempertikaikan hasil usaha orang lain. Dalam masa yang sama dia tidak pula mengusulkan alternatif lain yang dirasakannya lebih baik. Sikap seperti ini yang menyebabkan kebanyakan orang merasa benci dan menyampah dengan golongan ini. Perlu diingatkan,bencinya mereka adalah disebabkan sikap yang ditunjukkan, bukan benci kepada al-Quran dan as-Sunnah yang disampaikan.

  •  Sebenarnya kebanyakan golongan yang menyebabkan fitnah kepada dakwah Sunnah ini disebabkan mereka memasuki gelanggang dakwah melalui tingkap. Bahasa mudahnya tidak mengikut pintu yang betul. Bagusnya adalah mereka semakin dekat dengan Sunnah. Kurang bagusnya bahasa ketika menyampaikan dakwah dilihat tidak beradab, dan sebagainya. Apa yang dapat kita buat, dalam kita menyampaikan dakwah Sunnah ini. Banyakkanlah berdoa agar kita memelihara adab dan lisan kita dalam menyampaikan dakwah. Jauhi dari kita menjadi penyebab fitnah kepada dakwah Sunnah.
Ya, betul sebab yang diberikan oleh sahabat ana kenapa dakwah sunnah makin ditinggalkan atau dipandang serong oleh sesetengah masyarakat. 



Berdasarkan sebab yang pertama ialah jalan penyampaian dakwah. Kadang-kadang sesetengah yang menganggap dirinya "salafi" sangat mudah mengeluarkan perkataan bid'ah pada mulut sedang perkara yang disebut bukanlah bid'ah. Faktornya kerana orang yang dituduh bid'ah tidak melakukan apa yang dia lakukan. Ana bersetuju dengan alternatif yang diberi oleh sahabat ana iaitu kita menerangkan apa itu sunnah, serta disebarkan hadis-hadis yang berkaitan dengan sunnah. Selain itu, disebarkan juga dengan hadis-hadis ancaman bagi sesiapa yang meninggalkan sunnah.Wallahu'alam.


Berdasarkan sebab yang kedua pula ialah sikap segelintir yang mengaku menyebarkan sunnah. Akan tetapi mereka hanya tahu mencari salah orang lain tanpa memberitahu alternatif atau memberi gambaran kepada mad'u apa itu sunnah. Golongan ini selalu menuding jari kepada sesiapa yang tidak se"bulu" dengan mereka. Kadang-kadang golongan yang mengaku berada di atas jalan "sunnah" yang betul seringkali mencari kesalahan orang lain seperti parti, peribadi. organisasi tertentu. Mereka merasakan parti yang mereka masuk hanyalah satu-satunya parti yang mendokong dakwah sunnah ini. Jangan begitu wahai saudaraku, tidak kisah seseorang itu berada dalam organisasi mana-mana yang penting dakwah sunnah tetap disampaikan. Menyatukan umat juga adalah salah satu sunnah.Wallahu'alam.


Sebab yang akhir sekali ialah memasuki gelanggang dakwah terus kepada klimaks tanpa melalui pendahuluan dahulu. Mungkin golongan ini ingin mendekati dakwah sunnah akan tetapi janganlah sikap kalian yang tidak memahami konsep dakwah sunnah ini mencemarkan sunnah kepada mad'u. Tutur bicara juga perlulah beradab supaya mad'u dapat menerima dakwah yang kita sampaikan bukan hanya pandai mencari kesalahan orang tanpa melihat kepada kesalahan sendiri.Wallahu'alam.


Dakwah sunnah bukan tidak diterima oleh masyarakat akan tetapi sikap sesetengah "pendakwah sunnah" yang salah dalam kaedah dakwah. Contoh yang mudah ana boleh berikan, kawan ana ada menanyakan kepada ana tentang amalan yang sudah menjadi kebiasaan sesuatu tempat seperti bacaan tahlil. Pendakwah sunnah tidak perlu sewenang-wenangnya mengatakan perkara itu bid'ah memang tidak dinafikan bahawa amalan tersebut tidak pernah dilakukan oleh Nabi sallallahu'alaihi wasallam, para sahabat, tabi'in & tabi tabi'in. Seorang da'ie yang menyeru kepada sunnah perlu mencari alternatif lain supaya masyarakat boleh terima apa yang kita sampaikan seperti mengetuai bacaan doa kepada si mati tanpa bacaan doa tahlil yang khusus & tidak menerima bayaran serta diselitkan sedikit tazkirah tentang sunnah iaitu dengan mengajak kepada jiran yang hadir membawa makanan atau sumbangan kepada keluarga si mati. InsyaAllah sekiranya dakwah kita dilakukan dengan berhemat pasti masyarakat akan terima.


Mudah bukan. Cuba kita renungi kisah bagaimana Islam itu disebarkan. Islam diterima adalah kerana ia menjaga hak-hak manusia yang dizalimi, wanita, orang tua, orang miskin, kanak-kanak dan sebagainya. Dengan sebab inilah Islam dapat diterima. Sama seperti contoh yang ana berikan di atas. Di dalam kitab Fiqh al-Sirah karangan Dr. Muhammad Sa'id Ramadhan al-Bhouti bagaimana Ja'afar bin Abi Talib menerangkan kepada raja Najasyi kenapa mereka menerima Islam iaitu kerana Islam menyeru agar umatnya tidak menyembah berhala, berbuat baik dengan jiran tetangga, meninggalkan kejahatan dan sebagainya berlawanan dengan amalan jahiliyah ketika itu.Wallahu'lam.


Seseorang yang ingin menyampaikan dakwah sunnah berdasarkan hadis perlu juga memahami kaedah ushul fiqh kerana ia akan menjadikan kita seorang yang syadid(keras) dlm penyampaian dakwah kita. Mungkin sesetengah sahabat tidak dapat terima kerana bagi mereka apa persamaan hadis dan ushul fiqh. Bagi ana hadis dan ushul fiqh tidak dapat dibezakan kerana kadang-kadang suatu yang kita baca tidak semesti apa yang dibaca dengan kaedah ushul fiqh kita dapat memahaminya. 


Dulu ana juga syadid dalam bab-bab menyelesihi sunnah ini. Alhamdulillah kepada sahabat-sahabat ana yang banyak membantu ana memahami dakwah sunnah ini. Mungkin ini adalah berdasarkan pemerhatian ana kepada dakwah sunnah yang semakin jauh daripada masyarakat hasil daripada kesalahan "pendakwah sunnah". Terima kasih kepada sahabat ana Muhammad Fahmi Rusli kerana memberi sebab kenapa dakwah sudah tidak diterima dalam masyarakat dan sahabat yang lain. Sekiranya ada salah dan silap silalah tegur diri ana yang dhaif ini yang hanya seorang penuntut ilmu di muka bumi Allah subhanahu wa ta'ala.Wallahu'alam.







No comments:

Post a Comment