Saturday, March 10, 2012

Siapakah Abu Ubaidah al-Jarrah?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...


Mungkin ramai sahabat tertanya-tanya siapakah Abu Ubaidah al-Jarrah???
Apakah sumbangan beliau kepada Islam???
Adakah beliau seorang yang dicintai oleh Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam???


Nama sebenar Abu Ubaidah al-Jarrah ialah Amir ibn Abdullah ibn al-Jarrah ibn Hiloah al-Fihri al-Quraisy.Beliau terkenal dengan nama Abu Ubaidah al-Jarrah.Beliau lahir di Mekah dari sebuah keluarga Quraisy yang dihormati. Beliau juga antara sahabat yang awal memeluk Islam selang sehari selepas Abu Bakar asy-Siddiq. Beliau memeluk Islam bersama Abdurrahman bin 'Auf, Uthman bin Mazun dan Arqam bin Abu al-Arqam.


Abu Ubaidah seorang yang berperawakan tinggi, kurus, berwibawa, bermuka ceria, rendah diri dan sangat pemalu. Beliau termasuk orang yang disenangi apabila melihatnya, Beliau seorang yang berani ketika dalam kesulitan dan seorang yang sangat amanah dalam menyampaikan agama Allah subhanahu wata'ala. Seperti sabda Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam: 
                                    "لكل أمة امين وامين هذه الأمة ابو عبيدة الجراح"
mafhumnya:"Setiap ummat ada penjaga amanahnya dan penjaga amanah bagi ummat ini adalah Abu Ubaidah 
                    al-Jarrah". (HR al-Bukhari)


Dalam hadis riwayat al-Bukhari : Apabila datangnya tetamu dari Yaman. Mereka meminta Rasulullah menghantar kepada mereka seorang lelaki yang amanah untuk mengajarkan mereka. Rasulullah saw berkata kepada mereka: Akan aku hantarkan kepada kamu seorang lelaki yang amanah, sebenar-benar amanah. Para sahabat semuanya mengharapkan bahawa diri mereka yang dimaksudkan. Tetapi Rasulullah saw memilih Abu Ubaidah lalu berkata: "Bangun wahai Abu Ubaidah".


Beliau juga adalah sahabat yang dicintai oleh Rasulullah saw selain Abu Bakar dan Umar. Ditanya kepada Aisyah radhiallahu'anha: "Siapakah sahabat nabi yang aling dicintai Baginda?" lalu Aisyah menjawab: "Abu Bakar, Umar dan Abu Ubaidah al-Jarrah".(HR Bukhari)


Beliau antara 10 sahabat yang dijamin syurga. Beliau mengikuti semua peperangan bersama Rasulullah saw dan dalam peperangan Badar beliau cuba mengelak daripada bertembung dengan ayah kandungnya yang berada dalam kumpulan Quraisy yang menentang Rasulullah saw. Tetapi ayahnya telah bersumpah ingin membunuh anaknya sendiri kerana telah menjadi pengikut Rasulullah saw. Ayahnya terus meburu anaknya sehingga suatu ketika Abu Ubiadah al-Jarrah terpaksa berdepan dengan ayahnya sendiri. Dalam pertarungan itu Abu Ubaidah al-Jarrah terpaksa membunuh ayah kandungnya sendiri, beliau berasa sangat sedih akan tindakannya kemudian turunlah ayat surah al-Mujadalah ayat ke-22:
Engkau tidak menemukan kaum yang beriman kepada Allah dan hari kiamat yang mengasihi orang-orang yang menentang Allah dan Rasulullah, walaupun orang tersebut ayah kandung, anak, saudara atau keluarganya sendiri. Allah telah mematri keimanan di dalam hati mereka dan mereka dibekali pula dengan semangat. Allah akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, mereka akan kekal di dalamnya. Akan menyenangi mereka, di pihak lain mereka pun senang dengan Allah. Mereka itulah perajurit Allah, ketahuilah bahwa perajurit Allah pasti akan berjaya.” 
 Semasa berlakunya perang Uhud, Rasulullah saw terkena anak panah yang dilepaskan musuh lalu tersangkut pada rahang baginda. Abu Ubaidah al-Jarrah mencabut anak panah itu dengan giginya sehingga giginya tercabut. Rasulullah saw memberinya gelaran “Gagah dan Jujur”.

Suatu hari datang satu rombongan dari Najran menemui Rasulullah saw lalu meminta baginda menghantar seorang yang boleh dipercayai bagi menyelesaikan pertengkaran di kalangan mereka serta mengajar agama Islam. Rasulullah saw berjanji akan menghantar seorang sahabat yang gagah dan jujur. Sehubungan dengan itu Umar al-Khattab berharap beliau yang akan dipilih Rasulullah saw tetapi orang yang berani dan jujur yang dimaksudkan itu ialah Abu Ubaidah al-Jarrah.

Beliau juga seorang yang zuhud, tidak tamak kuasa dan harta. Di bawah pemerintahan khalifah Umar al Khattab, Abu Ubaidah al-Jarrah dilantik menjadi ketua pasukan tentera Islam bagi menakluk kota-kota besar yang berada di bawah pemerintahan Rom seperti Kota Damsyik, Syria, Syam, Kota Aleppo, Kota Hims, Kota Antakiah dan Kota al Quds di Baitul Maqdis.

Ketika khalifah Umar al Khattab berkunjung ke Baitul Maqdis, beliau singgah di rumah Abu Ubaidah al Jarrah. Dilihatnya yang ada dalam rumah ketua panglima Islam itu hanyalah pedang, perisai dan pelana kuda sahaja.

“Wahai sahabatku, mengapa engkau tidak mengambil sesuatu dari harta rampasan perang sebagaimana orang lain mengambilnya?” Tanya Umar al Khattab.

“Wahai Amirul Mukminin, ini saja sudah cukup bagiku,” jawab Abu Ubaidah al Jarrah.
Saidina Umar al Khattab melantik Abu Ubaidah al-Jarrah memimpin tentera Islam bagi merebut kembali kawasan tanah Arab yang dijajah oleh kerajaan Rom. Beliau berjaya dalam tugas yang diberikan itu sehingga berjaya menakluk Baitul Maqdis.


Setelah menyelesaikan tugasnya, berlaku wabak penyakit Taun di Syam. Khalifah Umar al-Khattab mengirim surat memanggil Abu Ubaidah al-Jarrah pulang ke Madinah namun beliau menolaknya kerana tidak sanggup membiarkan penduduk Syam dan tenteranya dalam bahaya sedangkan dia melarikan diri. Beliau menulis surat kepada Umar al Khattab.

“Wahai Amirul Mukminin! Sebenarnya saya tahu tuan memerlukan saya, akan tetapi saya sedang berada di tengah-tengah tentera Muslimin. Saya tidak ingin menyelamatkan diri sendiri dari musibah yang menimpa mereka dan saya tidak ingin berpisah dari mereka sampai Allah sendiri menetapkan keputusannya terhadap saya dan mereka. Oleh sebab itu, sesampainya surat saya ini, tolonglah jangan paksa saya pulang ke Madinah dan izinkanlah saya tinggal di sini.”

Setelah Umar al-Khattab membaca surat itu, beliau menangis sehingga para sahabat menyangka Abu Ubaidah al-Jarrah sudah meninggal. Umar menjawab, kematiannya sudah di ambang pintu.

Sebelum meninggal dunia Abu Ubaidah al-Jarrah sempat berpesan kepada tenteranya, “Dirikanlah shalat, tunaikanlah zakat, puasalah di bulan Ramadhan, berdermalah, tunaikanlah ibadah haji dan umrah, saling nasihat menasihatilah. Berilah nasihat kepada pimpinan kamu, jangan menipu, jangan terpesona dengan harta dunia. Sesungguhnya Allah telah menetapkan kematian untuk setiap manusia, kerana itu semua manusia pasti akan mati. Orang yang paling beruntung adalah orang yang paling taat kepada Allah dan paling banyak bekalnya untuk akhirat.”

Setelah Abu Ubaidah al-Jarrah meninggal dunia, Muaz bin Jabal mengambil alih tempatnya lalu berucap di hadapan orang ramai.

“Wahai sekalian kaum Muslimin! Kamu sudah dikejutkan dengan berita kematian seorang pahlawan, yang demi Allah saya tidak menemukan ada orang yang lebih baik hatinya, lebih jauh pandangannya, lebih suka terhadap hari kemudian dan sangat senang memberi nasihat kepada semua orang. Oleh sebab itu kasihanilah beliau, semoga kamu akan dikasihani Allah.”

Subhanallah, betapa amanah, berani, gagah, tawadhuk dan cinta akan Rasulullah sallahua'alaihi wasallam. Pada suatu hari di dalam majlis Umar al-Khattab dan para sahabat, Umar bertanya kepada mereka:"Sebutkan cita-cita kalian".Lalu berkata salah seorang dari kalangan mereka:"Aku bercita-cita agar rumah ini dipenuhi oleh harta yang banyak supaya aku dapat membelanjakannya dijalan Allah".Berkata seorang yang lain :"Aku bercita-cita agar rumah ini dipenuhi dengan emas yang banyak supaya aku dapat membelanjakannya dijalan Allah".Kata Umar:"Akan tetapi aku bercita-cita agar rumah ini dipenuhi oleh para pemuda seperti Abu Ubaidah al-Jarrah, Muaz ibn Jabal dan Huzaifah ibn Yaman supaya aku daat menggunakan mereka pada jalan ketaatan kepada Allah".

Subhanallah, betapa mulianya Abu Ubaidah al-Jarrah dimata Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam dan para sahabat yang lain. Abu Ubaidah al-Jarrah meninggal pada tahun 18 hijrah di Urdun wilayah Syam. Jenazahnya dikebumikan di kawasan yang pernah dibebaskannya daripada kekuasaan Rom dan Parsi, ketika itu umur beliau 58 tahun.Wallahu'alam.

Akhir kata dari ana, semoga kita juga mempunyai jati diri serta sifat yang ada pada seorang sahabat Nabi sallallahu'alaihi wasallam yang dijaminkan syurga ini. Sifat yang diperlukan ialah amanah, jujur, berani, zuhud dan gagah seperti Abu Ubaidah al-Jarrah.Wallahu'alam.


No comments:

Post a Comment