Friday, June 7, 2013

Agama itu Ilmu

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabaratuh...

   
   Setiap perbuatan atau kerja yang dilakukan mestilah dengan ilmu, termasuklah agama ini ia perlukan dengan ilmu bukan dengan rekaan.

   Untuk mendapatkan ilmu perlulah dengan dipelajarinya daripada orang yang betul 'alim dalam ilmu tersebut. Oleh sebab itu, al-Quran ada menyebut Allah 'azza wa jalla berfirman:
                                                     "...فسئلوا اهل الذكر ان كنتم لا تعلمون"
mafhumnya: "...maka bertanyalah kepada orang yang berfikir (yang ahli dalam bidangnya) sekiranya engkau tidak mengetahui" [al-Anbiya: 7]

   Berdasarkan firman Allah jalla wa 'ala di atas bermaksud bagi sesiapa yang tidak mengetahui atau tidak faham dalam sesuatu ilmu perlu ditanya kepada orang yang ahli dalamnya iaitu orang yang benar-benar pakar dalam bidangnya.

   Walaupun asbab al-nuzul di atas adalah disebabkan keingkaran golongan musyrikin Mekah terhadap Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam sebagai utusan yang diutuskan untuk menyampaikan cahaya kebenaran (Islam). Akan tetapi, tiada ulama yang berkhilaf makna umum ayat di atas yang bermaksud ilmu perlulah diambil daripada orang yang 'alim terhadap ilmu tertentu.

   Ibnu 'Athiyah menyebut:"اهل الذكر عام في كل من يعزى اليه علم" iaitu "ahli al-zikr umum bagi sesiapa yang menguasai olehnya ilmu"

   Seperti orang yang ingin tahu tentang ekonomi perlulah tanya pada 'alim ekonomi, untuk mengetahui tentang politik perlulah tanya kepada 'alim politik dan sebagainya. Begitu juga ilmu agama perlulah ditanya kepada yang ahli atau 'alim alam ilmu agama.

   Ilmu agama mempunyai furu' yang luas untuk memahaminya seperti ilmu 'Aqidah, Hadith dan Fiqh. Bukanlah bermaksud setiap orang yang 'alim dalam 'aqidah mengetahui tentang hadith dan orang yang memahami hadith tidak semestinya ia 'alim tentang ilmu fiqh begitulah seterusnya.

   Ilmu 'aqidah perlu dipelajari daripada orang yang 'alim dalam 'aqidah, ilmu hadith perlu dipelajari daripada orang yang 'alim dalam hadith dan ilmu fiqh perlu dipelajari daripada orang yang 'alim dalam fiqh. Agama ini merupakan ilmu dan perlu dipelajari daripada orang yang ahli dalamnya bukan dengan orang yang hanya pandai berkata-kata dan para pereka amalan yang tidak tsabit dalam agama. Ibnu Sirin rahimahullah menyebut:
                                            "ان هذا العلم دين فانظروا عمن تأخذوا دينكم"
maksudnya: "Sesungguhnya ilmu adalah agama, maka lihatlah daripada siapa kalian mengambil agama (ilmu)   kalian"

   Sekiranya seseorang mempelajari ilmu agama ini dengan bukan ahlinya yang 'alim maka orang tersebut akan menjadi sesat dan tidak akan dapat memahami keindahan dan kemudahan agama Islam ini.

   Agama merupakan ilmu yang perlu diambil daripada orang yang 'alim tentangnya bukan daripada orang yang hanya menceritakan kisah dusta dan mengagung-agungkan dirinya dengan magik-magik seperti dapat berjalan atas air, mampu terbang, boleh hilang sekelip mata dan sebagainya. Ini adalah jenayah dalam agama.

   Semoga Allah melindungi kita daripada golongan ini dan mempermudahkan kita memahami agama Islam.

                                         اللهم فقهنا في الدين وعلمنا تأويل وجعلنا من عبادك الراشدين