Wednesday, March 14, 2012

Sunnah Ketika Bersin & Menguap

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...


InsyaAllah kali ini ana akan berkongsi temtang sunnah-sunnah ketika bersin dan menguap.

Sebenarnya apa yang sering kita lakukan ketika bersin dan menguap sudah dikira mengikuti sunnah kerana antara sunnah-sunnahnya ketika bersin adalah menyebut "الحمد لله" dan ketika menguap hendaklah menutup mulut.

sungguh mudah cara-cara yang telah diajar oleh rasul junjungan kita Muhammad Sallallahu'alaihi wasallam. Terdapat istifadah apabila kita sebagai orang Islam melakukan perkara-perkara ini.

Rasulullah Sallallahu'alaihi wasallam benci kepada menguap dan menyukai bersin, ini berdasarkan hadis Rasulullah Sallallahu'alahi wasallam:


إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْعُطَاسَ وَيَكْرَهُ التَّثَاؤُبَ فَإِذَا عَطَسَ فَحَمِدَ اللَّهَ فَحَقٌّ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ سَمِعَهُ أَنْ يُشَمِّتَهُ وَأَمَّا التَّثَاؤُبُ فَإِنَّمَا هُوَ مِنْ ا
لشَّيْطَانِ فَلْيَرُدَّهُ مَا اسْتَطَاعَ فَإِذَا قَالَ هَا ضَحِكَ مِنْهُ الشَّيْطَانُ

“Sesungguhnya Allah menyukai bersin, dan membenci menguap. Maka apabila seseorang itu bersin, maka pujilah Allah (dengan mengucapkan “الحمد لله”). Manakala bagi setiap Muslim yang mendengar saudaranya bersin adalah menjadi tanggungjawabnya untuk mendoakannya (mendoakan saudaranya yang bersin) iaitu dengan menyebut “يرحمك الله” (semoga Allah memberi rahmat kepadanya). Manakala menguap, ia adalah dari Syaitan. Maka apabila seseorang daripada kamu menguap, tahanlah ia dengan sedaya upaya mungkin kerana sesungguhnya apabila seseorang itu menguap sambil berbunyi “Haaa” maka Syaitan akan mentertawakannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Adab, 19/223, no. 5755)
Berdasarkan daripada hadis di atas kita dapati bahawa Rasulullah sangat menyukai bersin kerana apabila kita bersin kita hanya perlu menyebut "الحمد لله", dan saudara kita yang mendengar perlu menjawab dengan doa yakni "يرحمك الله". Orang yang bersin tersebut sudah mendapat pahala dengan ucapannya serta orang yang menjawab kerana mendoakan kebaikan saudaranya.

Subhanallah begitu mudahnya agama Islam ini untuk melakukan kebaikan. Dalam hadis di atas ada menyebut bahawa menguap itu daripada syaitan, oleh kerana itulah Rasulullah membencinya. Kita juga disuruh supaya berusaha tahan menguap kerana apabila seseorang mengeluarkan bunyi "haaa" dari nguapannya maka syaitan akan mentertawakannya.

Bukan itu saja, orang yang bersin juga boleh mendoakan saudaranya yang mendoakannya. Dalam hadis riwayat yang lain daripada Abu Hurairah radhiallahu'anh, Rasulullah Sallallahu'alaihi wasallam bersabda:

إِذَا عَطَسَ أَحَدُكُمْ فَلْيَقُلْ الْحَمْدُ لِلَّهِ وَلْيَقُلْ لَهُ أَخُوهُ أَوْ صَاحِبُهُ يَرْحَمُكَ اللَّهُ فَإِذَا قَالَ لَهُ يَرْحَمُكَ اللَّهُ فَلْيَقُلْ يَهْدِيكُمُ اللَّهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ

“Apabila seseorang itu bersin, maka hendaklah ia memanjatkan pujian kepada Allah (dengan mengucapkan “الْحَمْدُ لِلَّهِ”). Manakala bagi setiap Muslim yang mendengar saudaranya bersin adalah menjadi tanggungjawabnya untuk mendoakannya (mendoakan saudaranya yang bersin) iaitu dengan menyebut “يَرْحَمُكَ اللهُ” (semoga Allah memberi rahmat kepadanya). Dan jika orang yang bersin mendengar saudaranya menyebutkan “يَرْحَمُكَ اللهُ”, maka hendaklah dia mengucapkan “يَهْدِيْكُمُ اللهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ” (Semoga Allah memberi petunjuk kepadamu dan memperbaiki keadaanmu).” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Adab, hadis no. 243)
Dalam hadis riwayat yang lain, orang yang bersin apabila mendengar saudaranya mendoakannya maka dia juga boleh mengucapkan(selain di atas):
" يَغْفِرُاللهُ لَنَا وَلَكُم"
“Semoga Allah mengampuni diri kami dan kamu.” (Hadis Riwayat at-Thabrani. Lihat di dalam Shahih al-Jami’ oleh Syaikh al-Albani).
Mudahnya agama Islam ini, hanya dengan bersin sudah dapat seseorang mendapat pahala dengan mendoakan kebaikan saudaranya. Banyak lagi sunnah yang boleh diikuti iaitu apabila kita menguap perlunya kita menutup mulut dengan tangan supaya tidak bagi  musuh Islam yang nyata(syaitan) memasuki mulut sebagaimana sabda nabi Sallallahu'alaihi wasallam:


"إِذَا تَثَاوَبَ أَحَدُكُمْ فَلْيُمْسِكْ بِيَدِهِ عَلَى فِيهِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَدْخُلُ"

“Apabila seseorang daripada kamu menguap, maka tutuplah mulut dengan tangannya kerana sesungguhnya syaitan masuk (ke dalam mulut yang terbuka).” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab az-Zuhud, 14/269, no. 5311)ز
Termasuk sunnah juga, apabila seseorang bersin, hendaklah ia menutup mulut atau meletakkan tangan atau menutup dengan baju(atau kain yang seumpamanya) kepada mukanya sambil merendahkan mukanya dan memperlahankan suaranya. Daripada Abu Hurairah radhiallahu'anh:
“Apabila Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersin, beliau meletakkan tangannya atau kain bajunya ke mulutnya (untuk menutupnya) sambil memperlahankan suaranya (bunyi bersin).” (Hadis Riwayat Abu Daud, Kitab al-Adab, hadis no. 5011. Lihat juga di dalam Shahih Sunan Abi Daud oleh Syaikh al-Albani)
Alhamdulillah, akhirnya dapat juga ana sampaikan sunnah-sunnah yang mungkin menjadi kebiasaan kita apabila menguap dan bersin. Mungkin sesetengah daripada kita merasakan ia perkara biasa tetapi cuba kita lihat daripada hadis yang diberikan betapa mudahnya seseorang untuk mendapat pahala hasil daripada doanya kepada saudaranya. Indahnya Islam ini sekiranya kita mengikuti sunnah. Semoga penulisan ana ini dapat memberi istifadah kepada para pembaca. Sekiranya ada salah dan silap tegur-tegurlah.Wallahu'alam.





No comments:

Post a Comment