Saturday, June 16, 2012

Amalan Di Bulan Sya'ban

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...


Kedatangan bulan Sya'ban semakin hampir, begitu juga dengan bulan yang mulia iaitu bulan Ramadhan yang di mana diwajibkan ke atas seluruh umat Islam untuk berpuasa padanya.

Sebelum memasuki bulan Ramadhan umat Islam akan melalui dahulu bulan Sya'ban kerana ia terdapat amalan yang juga terdapat pada bulan Ramadhan yakni "puasa".

Bukanlah bermaksud bahawa pada bulan Sya'ban diwajibkan kita untuk berpuasa akan tetapi pada bulan ini digalakkan kepada kita untuk berpuasa sebagaimana hadis:
Daripada Aisyah radhiallahu 'anha telah berkata, bahawa Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam biasa berpuasa hingga kami menyatakan baginda tidak pernah berbuka. Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam turut berbuka hingga kami menyatakan bahawa baginda tidak berpuasa. Aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa melebihi jumlah puasanya di bulan Sya'ban. Baginda berpuasa pada bulan Sya'ban keseluruhannya, Baginda berpuasa di bulan Sya'ban kecuali sedikit sahaja. [Shahih Muslim]
 Ummu Salamah radhiallahu 'anha menyatakan bahawa Nabi sallallahu'alahi wasallam tidak pernah berpuasa sebulan penuh kecuali Sya'ban dan diteruskan dengan berpuasa (fardhu) ramadhan. [Sunan Abu Daud]
Yang dimaksudkan oleh kedua hadis yang satunya menyebut berpuasa pada kebanyakan (hari) di bulan Sya’ban, dan hadis yang menyebutkan berpuasa pada keseluruhan Sya’ban, al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan di dalam Fathul Bari: Ia sebagaimana kata Ibn Mubarak bahawa riwayat yang pertama (yang menerangkan berpuasa pada kebanyakan hari bulan Sya’ban) menafsirkan  riwayat yang kedua (yang menyatakan berpuasa keseluruhan Sya’ban), yang mana perkataan ‘keseluruhan’ bermaksud ‘kebanyakan’. [Tuhfatul Ahwazi: Bab Menyambungkan (Puasa) Sya’ban dan Ramadhan]

Apa yang ingin disampaikan ialah perbanyakkanlah amalan dengan berpuasa pada bulan Sya'ban, semoga ibadah kita ikhlas kerana Allah subhanahu wa'ala dan mengikuti Rasul junjungan Muhammad sallallahu'alahi wasallam.

Sumber:
http://www.intisonline.com/artikel/rahsia-di-bulan-syaban

http://www.islamweb.net/newlibrary/display_book.php?idfrom=1318&idto=1319&bk_no=56&ID=522