Thursday, June 12, 2014

Bulan Ramadhan, Bulan Yang Diberkati.

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

    Ramadhan merupakan bulan yang mulia, yang mana dalam bulan ini terdapat satu ibadah yang wajib dilakukan oleh setiap umat Islam kecuali bagi yang mempunyai keuzuran untuk melaksanakannya iaitu puasa. Bulan Ramadhan juga dipanggil sebagai bulan al-Quran kerana diturunkan kitab Allah 'azza wa jall pada bulan ini sebagaimana firman-Nya:
"Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang haq dan yang batil)". [al-Baqarah: 185]
   Pada bulan Ramadhan manusia berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan kerana pada bulan ini apabila seseorang berpuasa keimanan untuk mendapat ganjaran pahala puasanya Allah 'azza wa jall akan menghapuskan dosa-dosanya yang telah lalu sebagaimana sabda Nabi sallahu'alaihi wasallam:
"Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan pahala) maka diampunkannya bagi dosa-dosa yang lepas". [HR Bukhari dan Muslim]
   Betapa banyaknya manfaat dan faedah yang manusia perolehi daripada bulan ini. Selain daripada itu bulan ini juga syaitan-syaitan dibelenggu sepertimana sabda Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam:
"Apabila masuk bulan Ramadhan, maka pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka jahanam ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu". [HR Bukhari]
    Pada bulan ini, seorang muslim dapat melakukan pelbagai amalan-amalan sunat yang pasti akan diganjari pahala selain berpuasa seperti qiyam al-lail, menunaikan zakat, bersedekah, ber"tadarus" al-Quran, memberi makan kepada jiran dan sebagainya.

   Semoga kita istiqamah dalam melakukan kebaikan pada bulan Ramadhan dan semoga dijauhkan daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh Allah 'azza wa jall, Wallahu'alam

اللهم بارك لنا في رمضان
 

Friday, May 9, 2014

Pesan Terakhir-Syed Qutb rahimahullah

بسم الله الرحمن الرحيم

Sahabat…

Andainya kematian kau tangisi
Pusara kau siram dengan air matamu
Maka diatas tulang belulangku yang dah luluh
Nyalakaniah obor untuk umat ini
Dan lanjutkanlah gerak merebut kemenangan

Sahabat,

Kematianku hanyalah suatu perjalanan
Memenuhi panggilan kekasih yang merindu
Taman-taman indah disyurga Tuhan
Terhampar menanti
Burung-burungnya berpesta menyambutku
Dan berbahagialah hidupku di sana

Sahabat,

Puaka kegelapan pastikan lebur
Fajarkan menyingsing
Dan alam ini kan disinari cahaya lagi
Relakan lah rohku terbang menjelang rindunya
Jangan gentar berkelana ke alam abadi
Di sana cahaya fajar memancar.

Saturday, March 1, 2014

~PURDAH~ : Kebaikan yang dilupakan

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamu'alakum warahmatullahi wabarakatuh.



Pendapat Mazhab Hanafi: Wajah wanita bukanlah aurat namun memakai purdah hukumnya sunnah (dianjurkan) dan menjadi wajib jika dikhuatiri wanita berkenaan akan menimbulkan fitnah.
Pendapat Mazhab Maliki: Bahawa wajah wanita bukanlah aurat namun memakainya hukumnya sunnah (dianjurkan) dan menjadi wajib apabila dikhuatiri wanita berkenaan menimbulkan fitnah. Bahkan sebahagian ulama mazhab Maliki berpendapat seluruh tubuh wanita itu adalah aurat.
Pendapat Mazhab Syafi’i: Aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi adalah seluruh badan sehingga sehingga mereka mewajibkan wanita memakai purdah di hadapan lelaki ajnabi. Inilah pendapat mu’tamad mazhab Syafi’i.

Imam Ahmad bin Hambal rahimahullah berkata عورة حتى ظفر : كل شيء منها أي من المرأة  الحرةSetiap  bahagian tubuh wanita adalah aurat termasuk pula kukunya

Dalil yang digunakan oleh kebanyakan ulama yang mewajibkan purdah adalah bersandarkan kepada dalil “المرأة عورة” iaitu “wanita adalah aurat”.  Imam at-Tirmidzi mengatakan bahawa hadits ini hasan gharib dan Syeikh al-Albani mengshahihkannya.

Hadits di atas adalah bersifat umum dan majoriti ulama mengatakan bahawa wajah bukan aurat berbanding minoriti mengatakan wajah adalah aurat.
Syeikh Soleh al-Uthaimeen rahimahullah berkata: “Pendapat yang kuat berdasarkan masalah ini adalah wajib bagi wanita menutup wajah daripada lelaki ajnabi”.

Ulama-ulama yang mewajibkan menutup wajah adalah kerana supaya dapat mengelakkan fitnah terhadap wanita daripada lelaki. Mereka juga menggunakan kaedah “mencegah kerosakan didahulukan berbanding manfaat”.

Kaedah tersebut adalah benar akan tetapi sekira ia tidak menimbulkan fitnah pada seseorang maka menutup wajah adalah tidak wajib. Berkata Imam al-Kauthari: “pendapat ulama yang harus menunjukkan muka adalah sekiranya tidak menimbulkan fitnah”.

Hadits daripada ‘Aisyah radhiyallahu’anha beliau berkata: Asma binti Abu Bakar masuk menemui Rasulullah sallallahu’alaihi wsallam sedangkan beliau berpakaian nipis, maka Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam berpaling daripadanya dan berkata:  “Wahai Asma, sekiranya wanita yang telah mengalami haid maka dia tidak boleh menampakkan aurat kecuali ini dan itu, beliau mengisyaratkan pada wajah dan kedua tapak tangan”. (HR Abu Daud no. 4104, Dha’if)

Bahkan ketika berihram para wanita dilarang untuk menutup wajahnya. Berdasarkan hadis berikut dalam al-Muwattha’: “لا تنتقب المرأة المحرمة ولا تلبس القفازين” ertinya: “Janganlah wanita yang berihram (haji/umrah) menutup mukanya dan memakai sarung tangan”.   Bukankah menutup wajah ketika ihram adalah lebih utama kerana terdapat ramai lelaki ajnabi yang melihat mereka.

Sebahagian ulama mengtakan hanya muka dan tapak tangan adalah aurat ketika dalam solat akan tetapi ketika di luar solat adalah seluruh badan.

Daripada Jabir radhiyallahu’anh beliau berkata: Pada hari ‘eid saya pernah solat bersama Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam beliau memulai solat sebelum khutbah kemudian beliau berdiri dengan bersandar pada Bilal sehingga beliau datang pada para wanita dan menasihat mereka serta meningatkan mereka dan memerintah mereka bertaqwa kepada Allah. Beliau bersabda: “Bersedekahlah, kemudian beliau menyebut sebahagian perkara jahanam. Maka berdirilah seorang wanita dari tengah-tengah mereka yang kedua pipinya berbintik hitam lalu berkata: Kenapa wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Kerana kalian banyak mengeluk banyak melaknat dan suka ingkar kepada suami. Kemudian mereka mengambil sebahagian daripada perhiasan anting dan cincin mereka lalu meletakkan dalam kain yang dibawa oleh Bilal sebagai sedekah". (HR ad-Darimi no. 1560, hasan shahih)

Hadits di atas menunjukkan bahawa wanita tersebut tidak menutupkan wajahnya. Sekiranya wajah adalah aurat sudah pasti ia akan menutupnya atau akan ditegur oleh Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam. Menutup wajah hanya arahan supaya dapat menundukkan pandangan seorang lelaki terhadap wanita.

Daripada ‘Abdullah Ibn Abbas radhiyallahu’anh, beliau berkata: Al-Fadhl mengikuti Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam lalu datang seorang wanita dari suku Kasy’am dan al-Fadh melihatnya . Lalu dia pun melihat al-Fadhl maka Nabi sallallahu’alaihi wasallam memalingkan wajah al-Fadhl kearah lain. Wanita itu berkata: “wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah telah mewajibkan hamba-Nya menunaikan haji, bapaku sudah tua dan ia tidak mampu duduk atas unta. Apakah (boleh) aku menghajikannya (mewakilinya) “? Baginda bersabda: Ya, yang demikian terjadi pada haji wida’. (HR Bukhari no. 1513)

Berdasarkan tindakan yang dilakukan oleh Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam, baginda memalingkan wajah lelaki yang melihat seorang wanita ini menunjukkan bahawa menutup wajah tidak wajib akan tetapi menundukkan atau memalingkan pandangan adalah wajib terhadap wanita kerana ia boleh menimbulkan fitnah.

Bahkan dalam surah an-Nur Allah ta’ala telah berfirman supaya para lelaki menundukkan pandangan pada ayat ke-30 dan pada ayat ke-31 diperintahkan pula kepada para wanita.

Akan tetapi terdapat juga riwayat ketika ‘Aisyah radhiyallahu’anha berihram berihram dan bersama-sama Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam, apabila lalu penunggang-penunggang daripada kalangan lelaki beliau menutup wajahnya dengan kainnya apabila sudah lepasi beliau membukanya (HR Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad bin Hanbal dalam Musnadnya)


Khilaf ulama terhadap hukum purdah adalah kerana percanggahan hadits “wanita adalah aurat” dan juga ayat al-Quran surah an-Nur ayat 31 serta hadits berkaitan dilarang menutup wajah ketika ihram. Akan tetapi, Syeikh al-Albani berkata: “Hadits yang umum tidak boleh meletakkan hukum wajah dan tapak tangan itu termasuk aurat". Oleh yang demikian hadits di atas (wanita adalah aurat) tidak termasuk muka dan tapak tangan. Prinsip ini tidak pernah bertentangan dengan amalan para sahabat (salaf). (Majmu’ah Fatawa al-Madinah al-Munawwarah Fatwa-Fatwa al-Albani hal. 150-154 Pustaka at-Tauhid)

Wallahu'alam.

Sunday, January 12, 2014

Siapakah Agamawan???

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...

   Kebelakangan ini, dunia da'wah semakin berkembang dan semakin ramai masyarakat yang ingin mendalami Islam samaada Muslim itu sendiri atau "non-muslim". Ini adalah satu perkembangan yang baik kepada kita sebagai seorang "da'ie" atau ustaz atau dengan apa-apa panggilan yang melambangkan kita sebagai seorang yang mempunyai pengetahuan tentang agama.

   Akan tetapi, muncul juga golongan yang "memandai-mandai" tentang agama walaupun mereka bukanlah ahlinya. Akibat muculnya golongan ini maka pincanglah da'wah Islam yang murni ini kerana perihal agama perlu dijelaskan oleh ahlinya.

   Islam tertegak dengan hujah dan ilmu bukan dengan sangkaan atau ikut-ikutan yang tanpa bersumberkan dalil yang shahih lagi sarih. Dalam hadith golongan seperti ini dikenali sebagai Ruwaibidhoh. Apakah yang dimaksudkan dengan Ruwaibidhoh?

   Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam bersabda:
 سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ قِيلَ وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ قَالَ الرَّجُلُ التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ
Maksudnya: "Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan. Ketika itu pendusta dibenarkan sedangkan yang jujur malah didustakan, pengkhianat dipercayai sedangkan yang amanah dianggap sebagai pengkhianat. Pada saat itu Ruwaibidhoh berbicara. Ada yag berbicara, "siapakah Ruwaibidhoh?" Baginda menjawab: "orang-orang yang turut campur dalam urusan masyarakat". (Riwayat Ibnu Majah, dishahihkan oleh Syeikh al-Albani dalam as-Shahihah)

   Mereka lebih terlajak berbanding orang yang lebih ahli tentang agama. Mereka hanya bercakap atas sangkaan atau hanya melihat diinternet atau mendengar daripada orang lain yang juga bukan ahlinya tentang agama Islam ini. Bercakap tanpa landasan ilmu maka rosaklah agama yang mulia ini.

   Hadith yang sering diucapkan oleh golongan ini ialah "sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat", sedangkan mereka tidak membaca hadith itu dengan sempurna sehingga akhir hadith tersebut. Bagaimana amaran yang keras diucapkan oleh Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam bagi sesiapa yang berdusta atas namanya.

   Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam bersabda:
            بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلَا حَرَجَ وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّار
Maksudnya: “Sampaikanlah dariku walau satu ayat, dan ceritakanlah tentang Bani Israil tanpa perlu takut. Dan barangsiapa berbohong ke atasku dengan sengaja maka bersiaplah dia mengambil tempat duduknya di Neraka". (Riwayat Bukhari)

  Poin pertama yang disampaikan oleh Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam dalam hadith di atas tentang menyampaikan apa-apa daripada Baginda walaupun sedikit akan tetapi, hendaklah disampaikan berdasarkan al-Quran dan Hadith yang shahih dengan kefahaman salaf as-soleh.

   Poin yang kedua, menjelaskan tentang akibat yang akan diterima kepada sesiapa yang bercakap dengan berdusta atas nama Baginda sallallahu'alaihi wasallam. Ini kerana berdusta atas nama Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam tidak sama berdusta atas nama orang lain.

   Oleh itu, pada "da'ie" haruslah berhati-hati apabila menyampaikan ilmu berkaitan agama ini. Terdapat juga agamawan yang tidak amanah dalam menyampaikan ilmu ini dan ia urusan mereka dengan Allah subhanahu wa ta'ala kelak.

   Akhir kata, tidak salah bagi seseorang yang bukan agamawan untuk menyampaikan Islam akan tetapi ia perlukan kaedah atau cara yang benar dan perlu mempunyai asas dalam ilmu agama. Agamawan ialah mereka yang mempunyai asas dan pengetahuan yang mendalam tentang agama serta ilmu alat seperti, bahasa arab, ushul fiqh, aqidah, hadith, tafsir dan sebagainya. Wallahu'alam.

Friday, July 5, 2013

Muflis di akhirat

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...


   Syurga dan neraka, pahala dan dosa semuanya atas kehendak Allah jalla wa 'ala. Seseorang manusia tidak berhak menentukan nasib saudara seagamanya sama ada ia ke neraka atau ke syurga.

   Barangkali orang yang dilihat nakal atau jahat tetapi di sisi Allah jalla wa 'ala dia adalah manusia yang mulia. Seseorang yang baik tidak dilihat pada pakaian. Barangkali pakaian yang dipakai adalah untuk menutup kejahatan yang ada pada dirinya dan sifat baik yang ditunjukkan adalah hanya semata-mata untuk riak. Sebaliknya, orang yang kusut masai, tidak mempunyai apa-apa dan dipandang hina oleh masyarakat tetapi amalan yang dilakukan adalah ikhlas kepada Allah subhanahu wa ta'ala.

   Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
                            ( ان الله لا ينظر إلى اجسامكم ولا الى صوركم ولكن ينظر إلى قلوبكم (رواه مسلم
 Ertinya: "Sesungguhnya Allah tidak melihat pada tubuh badan kamu dan tidak pada rupa paras kamu, akan tetapi Dia melihat pada hati kalian". (Riwayat Muslim)

   Begitu juga, sekiranya seseorang yang dilihat selalu melakukan solat, zakat, puasa dan amalan-amalan baik yang selainnya akan tetapi sikap suka mencela, memaki, menghina, menuduh, merampas harta orang, menganiaya orang dan sebagainya. Dia mungkin akan dipandang mulia oleh manusia di bumi akan tetapi di akhirat kelak dia adalah manusia yang muflis.

   Rasulullah bertanya kepada para sahabat baginda: "Tahukah kamu siapakah orang yang muflis"?

   Jawab para sahabat: "Orang yang muflis dalam kalangan kami adalah orang yang tiada dirham dan harta".

   Baginda bersabda: "Orang muflis dalam kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat nanti bersama solat, puasa dan zakatnya. Namun  dia pernah memaki orang menuduh orang memakan harta orang, menumpah darah orang dan memukul orang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Sekiranya pahala habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke neraka". (Riwayat Muslim)

   Begitulah betapa Allah jalla wa 'ala melihat kepada hamba-hambanya. Sekiranya kita ada kesalahan kepada Allah maka mintalah pengampunan kepadanya dan sekiranya ada kesalahan kepada saudara kita maka mintalah maaf dan ampun daripada saudara yang kita sakiti itu.