Sunday, January 12, 2014

Siapakah Agamawan???

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...

   Kebelakangan ini, dunia da'wah semakin berkembang dan semakin ramai masyarakat yang ingin mendalami Islam samaada Muslim itu sendiri atau "non-muslim". Ini adalah satu perkembangan yang baik kepada kita sebagai seorang "da'ie" atau ustaz atau dengan apa-apa panggilan yang melambangkan kita sebagai seorang yang mempunyai pengetahuan tentang agama.

   Akan tetapi, muncul juga golongan yang "memandai-mandai" tentang agama walaupun mereka bukanlah ahlinya. Akibat muculnya golongan ini maka pincanglah da'wah Islam yang murni ini kerana perihal agama perlu dijelaskan oleh ahlinya.

   Islam tertegak dengan hujah dan ilmu bukan dengan sangkaan atau ikut-ikutan yang tanpa bersumberkan dalil yang shahih lagi sarih. Dalam hadith golongan seperti ini dikenali sebagai Ruwaibidhoh. Apakah yang dimaksudkan dengan Ruwaibidhoh?

   Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam bersabda:
 سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ قِيلَ وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ قَالَ الرَّجُلُ التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ
Maksudnya: "Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan. Ketika itu pendusta dibenarkan sedangkan yang jujur malah didustakan, pengkhianat dipercayai sedangkan yang amanah dianggap sebagai pengkhianat. Pada saat itu Ruwaibidhoh berbicara. Ada yag berbicara, "siapakah Ruwaibidhoh?" Baginda menjawab: "orang-orang yang turut campur dalam urusan masyarakat". (Riwayat Ibnu Majah, dishahihkan oleh Syeikh al-Albani dalam as-Shahihah)

   Mereka lebih terlajak berbanding orang yang lebih ahli tentang agama. Mereka hanya bercakap atas sangkaan atau hanya melihat diinternet atau mendengar daripada orang lain yang juga bukan ahlinya tentang agama Islam ini. Bercakap tanpa landasan ilmu maka rosaklah agama yang mulia ini.

   Hadith yang sering diucapkan oleh golongan ini ialah "sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat", sedangkan mereka tidak membaca hadith itu dengan sempurna sehingga akhir hadith tersebut. Bagaimana amaran yang keras diucapkan oleh Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam bagi sesiapa yang berdusta atas namanya.

   Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam bersabda:
            بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلَا حَرَجَ وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّار
Maksudnya: “Sampaikanlah dariku walau satu ayat, dan ceritakanlah tentang Bani Israil tanpa perlu takut. Dan barangsiapa berbohong ke atasku dengan sengaja maka bersiaplah dia mengambil tempat duduknya di Neraka". (Riwayat Bukhari)

  Poin pertama yang disampaikan oleh Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam dalam hadith di atas tentang menyampaikan apa-apa daripada Baginda walaupun sedikit akan tetapi, hendaklah disampaikan berdasarkan al-Quran dan Hadith yang shahih dengan kefahaman salaf as-soleh.

   Poin yang kedua, menjelaskan tentang akibat yang akan diterima kepada sesiapa yang bercakap dengan berdusta atas nama Baginda sallallahu'alaihi wasallam. Ini kerana berdusta atas nama Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam tidak sama berdusta atas nama orang lain.

   Oleh itu, pada "da'ie" haruslah berhati-hati apabila menyampaikan ilmu berkaitan agama ini. Terdapat juga agamawan yang tidak amanah dalam menyampaikan ilmu ini dan ia urusan mereka dengan Allah subhanahu wa ta'ala kelak.

   Akhir kata, tidak salah bagi seseorang yang bukan agamawan untuk menyampaikan Islam akan tetapi ia perlukan kaedah atau cara yang benar dan perlu mempunyai asas dalam ilmu agama. Agamawan ialah mereka yang mempunyai asas dan pengetahuan yang mendalam tentang agama serta ilmu alat seperti, bahasa arab, ushul fiqh, aqidah, hadith, tafsir dan sebagainya. Wallahu'alam.