Friday, July 5, 2013

Muflis di akhirat

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...


   Syurga dan neraka, pahala dan dosa semuanya atas kehendak Allah jalla wa 'ala. Seseorang manusia tidak berhak menentukan nasib saudara seagamanya sama ada ia ke neraka atau ke syurga.

   Barangkali orang yang dilihat nakal atau jahat tetapi di sisi Allah jalla wa 'ala dia adalah manusia yang mulia. Seseorang yang baik tidak dilihat pada pakaian. Barangkali pakaian yang dipakai adalah untuk menutup kejahatan yang ada pada dirinya dan sifat baik yang ditunjukkan adalah hanya semata-mata untuk riak. Sebaliknya, orang yang kusut masai, tidak mempunyai apa-apa dan dipandang hina oleh masyarakat tetapi amalan yang dilakukan adalah ikhlas kepada Allah subhanahu wa ta'ala.

   Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
                            ( ان الله لا ينظر إلى اجسامكم ولا الى صوركم ولكن ينظر إلى قلوبكم (رواه مسلم
 Ertinya: "Sesungguhnya Allah tidak melihat pada tubuh badan kamu dan tidak pada rupa paras kamu, akan tetapi Dia melihat pada hati kalian". (Riwayat Muslim)

   Begitu juga, sekiranya seseorang yang dilihat selalu melakukan solat, zakat, puasa dan amalan-amalan baik yang selainnya akan tetapi sikap suka mencela, memaki, menghina, menuduh, merampas harta orang, menganiaya orang dan sebagainya. Dia mungkin akan dipandang mulia oleh manusia di bumi akan tetapi di akhirat kelak dia adalah manusia yang muflis.

   Rasulullah bertanya kepada para sahabat baginda: "Tahukah kamu siapakah orang yang muflis"?

   Jawab para sahabat: "Orang yang muflis dalam kalangan kami adalah orang yang tiada dirham dan harta".

   Baginda bersabda: "Orang muflis dalam kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat nanti bersama solat, puasa dan zakatnya. Namun  dia pernah memaki orang menuduh orang memakan harta orang, menumpah darah orang dan memukul orang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Sekiranya pahala habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke neraka". (Riwayat Muslim)

   Begitulah betapa Allah jalla wa 'ala melihat kepada hamba-hambanya. Sekiranya kita ada kesalahan kepada Allah maka mintalah pengampunan kepadanya dan sekiranya ada kesalahan kepada saudara kita maka mintalah maaf dan ampun daripada saudara yang kita sakiti itu.



Friday, June 7, 2013

Agama itu Ilmu

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabaratuh...

   
   Setiap perbuatan atau kerja yang dilakukan mestilah dengan ilmu, termasuklah agama ini ia perlukan dengan ilmu bukan dengan rekaan.

   Untuk mendapatkan ilmu perlulah dengan dipelajarinya daripada orang yang betul 'alim dalam ilmu tersebut. Oleh sebab itu, al-Quran ada menyebut Allah 'azza wa jalla berfirman:
                                                     "...فسئلوا اهل الذكر ان كنتم لا تعلمون"
mafhumnya: "...maka bertanyalah kepada orang yang berfikir (yang ahli dalam bidangnya) sekiranya engkau tidak mengetahui" [al-Anbiya: 7]

   Berdasarkan firman Allah jalla wa 'ala di atas bermaksud bagi sesiapa yang tidak mengetahui atau tidak faham dalam sesuatu ilmu perlu ditanya kepada orang yang ahli dalamnya iaitu orang yang benar-benar pakar dalam bidangnya.

   Walaupun asbab al-nuzul di atas adalah disebabkan keingkaran golongan musyrikin Mekah terhadap Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam sebagai utusan yang diutuskan untuk menyampaikan cahaya kebenaran (Islam). Akan tetapi, tiada ulama yang berkhilaf makna umum ayat di atas yang bermaksud ilmu perlulah diambil daripada orang yang 'alim terhadap ilmu tertentu.

   Ibnu 'Athiyah menyebut:"اهل الذكر عام في كل من يعزى اليه علم" iaitu "ahli al-zikr umum bagi sesiapa yang menguasai olehnya ilmu"

   Seperti orang yang ingin tahu tentang ekonomi perlulah tanya pada 'alim ekonomi, untuk mengetahui tentang politik perlulah tanya kepada 'alim politik dan sebagainya. Begitu juga ilmu agama perlulah ditanya kepada yang ahli atau 'alim alam ilmu agama.

   Ilmu agama mempunyai furu' yang luas untuk memahaminya seperti ilmu 'Aqidah, Hadith dan Fiqh. Bukanlah bermaksud setiap orang yang 'alim dalam 'aqidah mengetahui tentang hadith dan orang yang memahami hadith tidak semestinya ia 'alim tentang ilmu fiqh begitulah seterusnya.

   Ilmu 'aqidah perlu dipelajari daripada orang yang 'alim dalam 'aqidah, ilmu hadith perlu dipelajari daripada orang yang 'alim dalam hadith dan ilmu fiqh perlu dipelajari daripada orang yang 'alim dalam fiqh. Agama ini merupakan ilmu dan perlu dipelajari daripada orang yang ahli dalamnya bukan dengan orang yang hanya pandai berkata-kata dan para pereka amalan yang tidak tsabit dalam agama. Ibnu Sirin rahimahullah menyebut:
                                            "ان هذا العلم دين فانظروا عمن تأخذوا دينكم"
maksudnya: "Sesungguhnya ilmu adalah agama, maka lihatlah daripada siapa kalian mengambil agama (ilmu)   kalian"

   Sekiranya seseorang mempelajari ilmu agama ini dengan bukan ahlinya yang 'alim maka orang tersebut akan menjadi sesat dan tidak akan dapat memahami keindahan dan kemudahan agama Islam ini.

   Agama merupakan ilmu yang perlu diambil daripada orang yang 'alim tentangnya bukan daripada orang yang hanya menceritakan kisah dusta dan mengagung-agungkan dirinya dengan magik-magik seperti dapat berjalan atas air, mampu terbang, boleh hilang sekelip mata dan sebagainya. Ini adalah jenayah dalam agama.

   Semoga Allah melindungi kita daripada golongan ini dan mempermudahkan kita memahami agama Islam.

                                         اللهم فقهنا في الدين وعلمنا تأويل وجعلنا من عبادك الراشدين
              


Saturday, April 6, 2013

Sebaik-baik Amalan

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


   Agama Islam adalah agama yang bertunjangkan dalil atau nas daripada al-Quran dan as-Sunnah. Ulama telah menggariskan satu kaedah:

الاصل العبادات التوقيفية الا بدليل شرعي يدل على ذلك، والاصل المعاملات الاباحة فلا يحرم شيء الا بدليل شرعي
"ِِAsal 'Ibadah adalah tauqifiyah (terhenti) melainkan dalil syara' (al-Quran dan as-Sunnah) yang menunjukkan atas perkara tersebut dan asal Mu'amalat adalah harus maka tidak haram melainkan dengan dalil (yang mengharamkannya".

   Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

                                الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا
mafhumnya: "Pada hari ini telah aku sempurnakan agamu untukmu dan telah aku cukupkan nikmat-Ku bagimu dan telah aku redhai Islam sebagai agamamu".

   Setiap perbuatan 'ibadah yang kita lakukan mesti berpandukan al-Quran dan as-Sunnah dengan kefahaman Salaf al-Ummah. Bukan dengan ikut-ikutan atau suruhan daripada ustaz-ustaz atau tok guru-tok guru tertentu.

   Dalam surah al-Mulk dalam ayat ke-2 yang menjelaskan ujian Allah jalla wa 'ala ke atas hamba-hamba-Nya dan apa yang dilihat bukan pada "اكثر عملا" banyaknya amalan akan tetapi "احسن عملا" sebaik-baik amalan.

Apakah yang dimaksudkan "sebaik-baik amalan"?

   Dalam Tafsir al-Quran al-'Azhim sebagaimana kata Muhammad bin 'Ajlan iaitu "خير عملا": Yang paling baik amalannya. Amalan yang paling baik adalah ikhlas setiap amalan yang dilakukan kerana Allah jalla wa 'ala dan ittiba' Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam.

   Dua aspek penting dalam amalan 'ibadah kepada Allah jalla wa 'ala:

1- Ikhlas melakukan 'ibadah kerana Allah subhanahu wa ta'ala.

2- Ittiba' (mengikuti) Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam.

   Semoga setiap perbuatan yang kita lakukan diterima dan mendapat gnajaran daripada Allah jalla wa 'ala. Aamiin.

Wallahu'alam.



Friday, February 22, 2013

Kamu "wahabi"

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...


W: Perkara ini adalah bid'ah kerana ia bertentangan dengan sunnah dan tidak ada fadhilat yang khusus  
      tentangnya.

S: Apasal pula? Aku dengar tok guru aku yang kata tentang fadhilatnya. Tok guru aku lebih alim daripada
    hang la. Takyah cakap banyaklah.

W: Dari mana sumber fadhilatnya yang tok guru kamu dapat?

S: Dari mimpi. Tok guru aku keturunan Rasulullah, dia boleh jumpa Rasulullah secara terus.

W: Bila masa pula mimpi boleh dijadikan sumber dalil? Sekiranya mimpi boleh dijadikan dalil maka rosaklah
     agama ini kerana manusia pasti akan berkata-kata yang dusta dengan menggunakan dalil mimpi.

S: Aku percaya guru aku lagi daripada hang sebab dia keturunan nabi.

W: Keturunan nabi bukanlah hujah kebenaran kata-katanya. Rasulullah sallallahu'alaihu wasallam bersabda:
     "Demi Allah, sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya aku potong tangannya". (HR Bukhari)
      Di mana  kamu campakkan hadith ini? Sedangkan anak Rasulullah mencuri pun akan dipotong tangan
      apatah lagi pengaku ahl al-bayt yang berdusta atas nama Baginda sallallahu'alaihi wasallam.

S: Kamu ni mesti "wahabi".

W: .......













Thursday, January 17, 2013

Sifat Malu

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


Setiap insan atau manusia mempunyai satu fitrah yang merupakan cabang daripada cabang-cabang iman iaitu sifat malu. Perkara ini sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam : "فإن الحياء من الإيمان" yang bermaksud: "sesungguhnya malu itu sebahagian daripada iman". [1]

Setiap manusia pasti akan ada sifat malu walaupun kadang-kadang tidak tahu malu. Ia merupakan fitrah bagi manusia sama ada lelaki atau wanita. Malu juga perlu kena pada tempatnya. Bukanlah bermaksud malu itu perlu setiap waktu sehingga menyebabkan menyusahkan diri sendiri dan orang lain.

Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam pernah bersabda: "الحياء لا يأتي الا بخير", bermaksud: "malu itu tidak datang melainkan dengan kebaikan". [2] Sifat malu ini dapat mencegah seseorang melakukan perbuatan mungkar seperti seorang wanita atau seorang lelaki dapat menjaga batas pergaulan dengan sifat malu ini iaitu tidak terlalu rapat yang kadang-kadang boleh menyebabkan masalah sosial bahkan setiap orang yang dibukakan aibnya pasti akan merasa malu terutamanya aib tentang kejahatan yang dilakukan.

Contoh teladan yang dapat kita contohi daripada sifat malu ini tidak lain tidak bukan daripada rasul junjungan kita Muhammad sallalahu'alaihi wasallam. Sebagaimana dalam hadith, kata Abu Sa'id al-Khudri radhiyallahu 'anh: "كان النبي صلى الله عليه وسلم أشد الحياء من العذراء في خدرها", bermaksud: "Bahawasanya Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam lebih dahsyat malunya daripada anak-anak dara dalam kelambunya". [3]

Malulah kalian dengan Tuhan kamu kerana dengan sifat malu ini kita akan menjadi patuh dan taat akan perintahnya kerana malu melakukan perkara yang dibenci oleh-Nya. Sifat malu juga menunjukkan akhlak seseorang dalam setiap  tindak tanduknya kerana sekiranya manusia tidak ada sifat malu mereka akan melakukan apa sahaja tanpa segan silu. Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam bersabda: "إن لكل دين خلقا وخلق الإسلام الحياء", yang bermaksud: "sesungguhnya setiap agama mempunyai akhlak dan akhlak bagi orang Islam adalah sifat malu". [4]

Lihatlah bagaimana sifat malu dapat menjaga akhlak seseorang serta merupakan sifat yang penting perlu ada dalam diri setiap muslim samaada lelaki ataupun wanita. Tanamlah sifat malu dalam diri agar dapat mencegah kita daripada melakukan perkara mungkar atau yang dibenci oleh Allah jalla wa 'ala.


[1] HR Bukhari dan Muslim

[2] HR Bukhari

[3] HR Bukhari

[4] HR Ibnu Majah, hadith hasan