Friday, August 17, 2012

Amalan Sunnah Ketika Hari Raya

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...


Ramadan sudah sampai ke penghujung, hari kegembiraan bagi umat Islam pun semakin hampir. Ketika penghujung Ramadan yakni pada 28 hingga 30 Ramadan tentunya ramai ibubapa membawa anak-anak untuk membeli baju raya. Di samping keseronokkan menyambut jangan kita lupa juga kepada golongan yang memerlukan. Untuk artikel kali ini insya-Allah ana akan berkongsi tentang amalan-amalan sunnah ketika hari raya bagi umat Islam ('Eid al-Fitri dan 'Eid al-Adha).

Antara perkara-perkara sunnah ketika hari raya ialah:

1. Berpakaian cantik pada hari raya:
Daripada Jabir radhiallahu'anh katanya: "Nabi sallallahu'alaihi wasallam mempunyai sehelai jubah yang Baginda akan memakainya untuk dua hari raya dan hari jumaat". (Shahih Ibn Khuzaimah:1785)
Memakai pakaian cantik pada hari raya adalah untuk kaum lelaki. Adapun untuk kaum wanita mereka boleh mengenakan pakaian yang biasa (di sebelah luar/atasnya) seperti sabda Baginda sallallahu'alaihi wasallam:
"Jangan kamu tegah hamba perempuan Allah dari masjid Allah. tetapi hendaklah kaum wanita keluar dalam keadaan meninggalkan wangian". (HR Abu Daud dan Ahmad, Shahih)
Maksud hadits di atas ialah seorang wanita keluar dengan berpakaian biasa di luar dan tidak bertabarruj (berhias) dan tidak mengenakan wangian yang boleh dihidu oleh kaum lelaki. Sekiranya wanita berkumpul dalam kelompok mereka sahaja tidak mengapa berpakaian cantik.

2. Mandi hari raya sebelum keluar:
Daripada Nafi': "Sesungguhnya Abdullah Ibn 'Umar mandi pagi pada hari raya 'Eid al-Fitri sebelum keluar ke musholla". (Muwatha' Malik:384)
Berkata Syeikh Nashiruddin al-Albani dalam kitabnya 'Irwa al-Ghalil, al-Faryabi telah meriwayatkan daripada Sa'id Ibn Musayyab sesungguhnya beliau berkata: Perkara sunnah ada hari raya ada tiga:- 1.Berjalan kaki ke musholla, 2.Makan sebelum keluar, 3.Mandi (Sanadnya Shahih).

3. Haram berpuasa pada hari raya 'Eid al-Fitri dan 'Eid al-Adha:
Berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Abu Sa'id al-Khudri bahawa Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam bersabda: "Tidak ada puasa pada dua hari raya; 'Eid al-Fitri dan 'Eid al-Adha". (Shahih Bukhari:1197)
Berkata Imam an-Nawawi dalam syarah Shahih Muslim: Telah ijmak para ulama' atas keharaman berpuasa pada dua hari ini atas setiap perkara, samada puasanya itu merupakan puasa nazar, thatawwu', kifarah dan sebagainya.

4. Menyegerakan makan sebelum solat 'Eid al-Fitrah dan tidak makan sebelum solat 'Eid al-Adha:
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik radhiallahu'anh, ia berkata: Adalah Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam tidak berpagian (keluar pada waktu pagi) sehinggalah makan beberapa biji tamar dan Baginda memakannya dengan bilangan ganjil. (Shahih Bukhari:953)
Daripada Buraidah radhiallahu'anh bahawa Rasulullah sallallahu'alahi wasallam kebiasaannya tidak akan keluar daripada rumah (untuk pergi menunaikan solat raya) kecuali sehingga telah makan dan Baginda tidak makan pada hari raya haji melainkan selepas pulang (daripada hari raya). (Sunan Ibn Majah:1746, al-Albani mengatakannya shahih)
5. Bersolat di Musholla (tempat lapang):
 Daripada Abu Sa'id al-Khudri katanya: Adalah Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam keluar menuju tempat solat pada hari 'Eid al-Fitri dan 'Eid al-Adha di padang atau tanah lapang. (Shahih Bukhari)
Namun sebahagian fuqaha' memberi kelonggaran dibolehkan bersolat hari raya dalam masjid sekiranya pagi itu hujan dan lain-lain keuzuran yang tidak memungkinkan ia dilaksanakan di padang atau tanah lapang.

6. Berjalan kaki ke musholla:
Daripada Ibn 'Umar beliau berkata: Adalah Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam keluar pada hari raya dalam keadaan berjalan kaki dan pulang dan pulang dalam keadaan berjalan kaki. (Sunan Ibn Majah, al-Albani mengatakan hasan)
Daripada 'Ali bin Abi Thalib berkata: Di antara sunnah itu ialah kamu keluar pada hari raya dengan berjalan kaki dan kamu memakan sedikit sebelum keluar.
Berkata at-Tirmidzi rahimahullah: Perbuatan daripada hadits ini di sisi ahli ilmu; digalakkan seseorang lelaki keluar rumah dengan berjalan kaki dan digalakkan supaya tidak menunggang melainkan dalam keuzuran.

Berkata as-Shan'ani dalam kitab Subul as-Salam: Adalah Ibn 'Umar keluar pada hari raya dalam keadaan berjalan kaki dan pulang dalam keadaan berjalan kaki.

7. Pergi dan pulang dari musholla dengan jalan yang berbeza:
Daripada Jabir Ibn 'Abdillah radhiallahu'anhuma katanya: Adalah Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam, pada hari raya Baginda membezakan jalan (pergi dan pulang dari solat hari raya). (Shahih Bukhari:986)
Daripada Abdullah Ibn 'Umar: "Sesungguhnya Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam melalui suatu jalan pada hari raya, kemudian pulang melalui jalan yang lain". (Sunan Abu Daud:254, al-Albani mengatakan shahih)
8. Bertakbir pada hari raya 'Eid al-Fitri dan 'Eid al-Adha:

Berkata as-Shan'ani dalam Subul as-Salam: Bertakbir pada kedua hari raya adalah disyariatkan. Adapun dalil bertakbir pada hari 'Eid al-Fitri ialah dari surah al-Baqarah ayat 185:
"Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada kamu, supaya kamu bersyukur".
Daripada az-Zuhri: "Sesungguhnya Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam keluar pada hari 'Eid al-Fitri lalu bertakbir sehingga sampai ke musholla dan sehingga selesai solat apabila selesai solat Baginda menamatkan takbir". (Silsilah al-Ahadits as-Shahihah:1/331, al-Albani)
9. Bentuk takbir:
Daripada Ibn Mas'ud radhiallahu'anh: Sesungguhnya beliau berkata: الله اكبر الله اكبر لا اله الا الله والله اكبر الله اكبر ولله الحمد. (Musannaf Ibn Abi Syaibah, Kitab Solat al-'Eidain)
al-Mahamily meriwayatkan dengan sanad yang shahih juga tentang lafaz takbir Ibn Mas'ud: الله اكبر كبيرا الله اكبر كبيرا الله اكبر وأجل الله اكبر ولله الحمد. ('Irwa al-Ghalil:3/126)

10. Ucapan tahni'ah pada hari raya:

Berkata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah dalam Majmu' al-Fatawa: Adapun tahni'ah pada hari raya, ucapan sebahagian mereka kepada sebahagian yang lainnya apabila berjumpa selepas solat hari raya: "Taqabbalallahu minna wa minkum" maksudnya: "Semoga Allah menerima amalan kami dan kalian".

Amalan ini juga telah diriwayatkan sebahagian sahabat bahawa mereka melakukannya. Akan tetapi berkata Imam Ahmad: "Aku tidak memulakan ucapan kepada seseorang, sekiranya seseorang memulakan ucapannya kepadaku maka aku akan menjawabnya; kerana menjawab ucapan yang baik adalah wajib. Adapun memulakan dengan tahni'ah maka ia bukanlah sunnah yang diperintahkan bukan juga sesuatu yang ditegah. Sesiapa yang melakukannya baginya qudwah dan sesiapa yang meninggalkannya baginya qudwah". Wallahu'alam.

Semoga amalan kita pada bulan Ramadan yang lalu diterima oleh-Nya dan juga artikel ini dapat memberi faedah kepada para pembaca dalam mengikuti sunnah. Salah dan silap saya mohon maaf kepada keluarga, sanak saudara dan sahabat-sahabat yang mengenali diri ini. Taqabbalallahu minna wa minkum.




No comments:

Post a Comment