Tuesday, May 15, 2012

~Kau kawan Kau Teman~

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...


Siapakah itu "kawan" ? & Siapakah itu "teman" ?

ana sendiri tidak dapat menjawab persoalan ini dengan tepat kerana ia berkemungkinan membawa maksud yang sama atau berbeza. Mungkin para pembaca akan tertanya-tanya 'kenapa bukan sahabat'?

Jangan disalah fahami akan maksud sahabat kerana maksud sahabat yang sebenar berdasarkan kalimah arab "صحابة" adalah bermaksud orang yang bertemu dengan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dalam keadaan beriman dan mati juga dalam keadaan beriman.

Masuk semula kepada topik yang ingin dibincangkan. Ini berdasarkan tafsiran ana, "kawan" ialah umpama pen apabila ia diperlukan kita guna dan apabila tidak diperlukan kita tinggalkan. Boleh juga diumpamakan seperti tisu apabila kita selsema baru menggunakannya apabila sudah digunakan kita terus tinggalkannya. Berdasarkan penafsiran ini "kawan" hanyalah sebagai tempat untuk bersuka-ria dan berseronok berlainan pula dengan "teman".

Penafsiran ana mengenai "teman" pula ialah umpama pakaian kerana kita sangat memerlukannya setiap waktu dan ketika. "Teman" juga boleh ditakrifkan sebagai teman hidup yang akan sentiasa bersama-sama kita sehingga ke hujung nyawa...:P

Tapi bukan ini yang ana ingin bincangkan. Bagi ana, kita sebagai umat manusia amat memerlukan kawan/teman untuk bercerita, bersembang, bergurau dan sebagainya. Tanpa kawan/teman siapalah kita yang hanya bersendirian, kehidupan juga jadi tidak seronok.

Kawan/teman juga harus dicari atau dipilih dengan baik, umpama mencari calon suami atau isteri untuk dijadikan teman hidup. Bukan bermaksud berkawan/berteman untuk dijadikan suami atau isteri tetapi kawan/teman juga adalah antara orang yang akan hidup bersama kita sehingga nafas yang terakhir. Kita bukanlah ingin berkawan/berteman sehari, seminggu, sebulan dan setahun. Akan tetapi kita ingin berkawan/berteman sehingga kita menemui ajal atau bahasa mudah "berkawan/berteman hingga ke syurga".

Kawan/teman yang akan mencorak diri kita untuk menjadi baik atau jahat kerana pengaruh paling kuat dalam kehidupan kita adalah kawan/teman sebagaimana hadis Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dari Abu Musa al-Asy'ari:
Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk".(HR Bukhari dan Muslim)
Jika buruk seorang kawan/teman itu maka buruklah juga orang yang berkawan/berteman dengannya. Bukanlah bermaksud hadis di atas bahawa kita mesti menjauhi kawan/teman yang buruk perangainya tetapi apabila kita berkawan/berteman dengan seorang yang buruk perangainya orang yang memandang akan menilai bahawa kita juga adalah buruk perangainya. Apabila kita berkawan/berteman dengan seorang yang baik akhlaknya maka orang yang memandang akan menilai bahawa kita juga adalah baik akhlaknya. Inilah sifir mudah bagi masyarakat sekarang. Bagi ana tidak salah ingin berkawan/berteman dengan orang yang buruk akhlaknya akan tetapi jangan pula kita terjerumus kepada akhlak mereka itu. Mungkin kita boleh menasihati mereka supaya mengubah sikap buruk dalam diri mereka dan sekiranya kita berkawan/berteman dengan mereka yang rosak akhlaknya boleh memberi mudharat pada kita, tidak dapat tidak kita menjauhi mereka ini.

Peribahasa melayu ada menyebut "berkawan biar seribu, berkasih biar satu". Kata-kata ini boleh diterima atau ditolak, memang betul kita perlu berkawan/berteman dengan ramai orang supaya kita tidak berasa kosong dengan hidup ini. Di samping itu, kita dapat membezakan sikap setiap manusia kerana setiap manusia ini mempunyai pandangan yang berbeza. Sebagaimana Allah subhanahu wata'ala berfirman dalam surah al-Hujurat ayat 13:
"Hai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa antara kamu. Sesungguhnya Allah maha mengetahui dan maha mengenal".
Kita bukan hanya untuk berkawan/berteman sahaja, saling-memahami dan bantu-membantu juga perlu ada pada diri seorang kawan supaya hubungan antara kawan/teman akan menjadi lebih akrab. Sekiranya kawan/teman kita ada masalah atau perlukan bantuan apa-apa, jangan malu-malu untuk bertanya atau membantu sahabat yang perlukan bantuan tersebut. Kadang-kadang seorang kawan/teman pasti tidak akan memberitahu kita apa masalahnya sekiranya berkait dengan peribadi. Tetapi kita sebagai kawan/teman yang sudah rapat pasti akan dapat mengetahui masalah yang dihadapi seperti masalah duit, pelajaran dan sebagainya. Sekiranya kita merasa apabila kita membantu lebih memburukkan keadaan, tidak perlulah kita membantu yang akan membawa kepada mafsadah yang lebih besar. Kasih sayang dan kecintaan kepada kawan/teman mesti menyamai kasih sayang atau kecintaan kepada diri sendiri sepertimana sabda Rasulullah sallallahu 'alahi wasallam:
"Tidak (sempurna) iman seseorang apabila dia tidak mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri".(HR Muslim)
Sikap bantu-membantu atau tolong-menolong sangat perlu ada pada seorang kawan/teman supaya kita dapat merasai apa yang kawan/teman kita rasai inilah namanya kawan/teman sejati sentiasa bersama kita apabila senang dan susah sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dari Nu'man bin Basyir:
"Perumpamaan kaum muslimin dalam cinta dan kasih sayang di antara mereka adalah umpama satu tubuh. Apabila satu anggota tubuh sakit maka mengakibatkan seluruh tubuh menjadi demam dan tidak mampu tidur".(HR Muslim)
Itulah indahnya ukhuwah antara kawan/teman sekiranya ia berlandaskan al-Quran serta as-Sunnah. Musuh mudah untuk dicari akan tetapi kawan/teman susah untuk dicari. Tafsiran ana bagi rakan pula ialah sepertimana tafsiran ana pada teman, bagi ana ia tidak ada perbezaan dan membawa maksud yang sama. Mohon maaf sekiranya artikel yang ana tulis ini tidak seberapa kerana setiap manusia itu mempunyai sifat lemah dan tidak akan lari daripada melakukan kesilapan. Semoga dengan artikel ini ukhuwah antara kita serta kawan/teman akan lebih akrab. Wallahu'alam.





No comments:

Post a Comment