Monday, May 21, 2012

Salah Faham Tentang Bulan Rejab

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...


Insya-Allah, kali ini ana ingin menulis tentang bulan Rejab yakni antara 4 bulan haram. Dalil mengenai perkara ini berdasarkan Sabda Rasullullah sallallahu'alaihi wasallam Daripada Abu Bakrah:
"Setahun berputar sebagaimana keadaan sejak Allah menciptakan langit dan bumi. Satu tahun itu ada dua belas bulan. Di antaranya ada empat bulan haram (suci). Tiga bulannya berturut-turut iaitu Dzulqaedah, Dzulhijjah dan Muharram. (Satu bulan lagi adalah) Rejab Mudhor yang terletak Jamadil Akhir dan Sya'aban". (HR Bukhari dan Muslim)
 Jadi, berdasarkan hadis di atas 4 bulam haram tersebut ialah Dzulqaedah, Dzulhijjah, Muharram dan Rejab. Akan tetapi sering kali kita dengar tentang kelebihan-kelebihan bulan Rejab berbanding bulan-bulan haram yang lain. Antaranya ialah fadhilat-fadhilat puasa, solat sunat tertentu dan sebagainya. Sedangkan perkara-perkara tersebut tidaklah benar malah hadis-hadis tentangnya juga kesemuanya dhaif jiddan bahkan ada juga maudhu'. Wallahu'alam.

Allah subhanahu wat'ala juga berfirman di dalam kitab-Nya:
"Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah diwaktu  Dia menciptakan langit dan bumi, diantaranya empat bulan haram. Itulah ketetapan agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya agama kamu dalam empat bulan yang empat itu". (at-Taubah: 36)
Tiadalah kelebihan pada bulan Rejab sahaja berbanding bulan-bulan haram yang lain kerana kita diperintahkan supaya berpuasa serta memperbanyakkan melakukan amalan-amalan yang baik pada empat bulan haram ini. Terdapat di dalam hadis shahih bahwa Rasulullah biasa banyak berpuasa pada bulan Sya'ban. Wallahu'alam.

Berkaitan dengan doa yang sering kita dengar apabila masuk bulan Rejab ini, iaitu doanya berbunyi:
                                     "اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغنا رمضان"
         "Ya Allah, berkati kami pada bulan Rejab dan Sya'ban dan sampaikan kami ke bulan Ramadhan"

Hadis munkar bahkan sanadnya dhaif jiddan, ramai ahli hadis menilainya dhaif. Akan tetapi, doa ini bolehlah diamalkan kerana doa ini bersifat bebas dan tidak terikat seperti lafaz zikir yang ma'thur daripada Nabi sallallahu'alaihi wasallam. Ini kerana berdoa dengan hadis yang dhaif lebih utama berbanding doa yang bersifat bebas dan tanpa sanad langsung. Sama juga doa berdasarkan hadis shahih lebih utama berbanding doa daripada hadis yang dhaif atau maudhu'.

Penjelasan yang baik oleh saudara Fathi al-Sakandary berkenaan doa tersebut. Mungkin kita jangan bermudah-mudah terhadap sesuatu dan jangan terlalu keras terhadap sesuatu. Kadang-kadang ana juga sangat keras dalam setiap amalan supaya ia berpandukan petunjuk daripada Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam. Ada orang mengatakan "janganlah halang orang membuat baik". Ana bukan menghalang orang berbuat baik tapi biarlah perbuatan kita berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah dan jangan memandai-mandai buat amalan sendiri. Wallahu'alam.

Akhir sekali, berdasarkan artikel ana ini bulan Rejab sama tara seperti bulan haram yang lain tiada lebih dan kurang sekiranya ada sila datangkan hadis shahih ataupun hassan berkenaan dengan fadhilat tersebut. Apa yang perlu kita lakukan adalah perbanyakkan ibadah pada bulan ini (bulan haram) serta bulan yang seterusnya. Tidak kira anda ingin puasa isnin dan khamis atau berpuasa seperti puasa Nabi Daud 'alaihissalam kerana ia adalah sunnah. Inilah sunnah yang dianjurkan, mohon maaf dan silap sekiranya artikel ini ada mencuit hati sesiapa semoga ia bernilai ibadah di sisi Allah jalla wa 'ala. Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment