Assalamu'alakum warahmatullahi wabarakatuh.
Pendapat Mazhab Hanafi: Wajah wanita bukanlah aurat namun memakai purdah
hukumnya sunnah (dianjurkan) dan menjadi wajib jika dikhuatiri wanita berkenaan
akan menimbulkan fitnah.
Pendapat Mazhab Maliki: Bahawa wajah wanita bukanlah aurat namun
memakainya hukumnya sunnah (dianjurkan) dan menjadi wajib apabila dikhuatiri
wanita berkenaan menimbulkan fitnah. Bahkan sebahagian ulama mazhab Maliki
berpendapat seluruh tubuh wanita itu adalah aurat.
Pendapat Mazhab Syafi’i: Aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi adalah
seluruh badan sehingga sehingga mereka mewajibkan wanita memakai purdah di
hadapan lelaki ajnabi. Inilah pendapat mu’tamad mazhab Syafi’i.
Imam Ahmad bin Hambal rahimahullah berkata عورة حتى ظفر :
كل شيء منها أي من المرأة الحرة
“Setiap bahagian tubuh wanita adalah
aurat termasuk pula kukunya”
Dalil yang digunakan oleh kebanyakan ulama yang
mewajibkan purdah adalah bersandarkan kepada dalil “المرأة عورة” iaitu “wanita adalah aurat”.
Imam at-Tirmidzi mengatakan bahawa hadits ini hasan gharib dan Syeikh
al-Albani mengshahihkannya.
Hadits di atas adalah bersifat umum dan majoriti
ulama mengatakan bahawa wajah bukan aurat berbanding minoriti mengatakan wajah
adalah aurat.
Syeikh Soleh al-Uthaimeen rahimahullah berkata:
“Pendapat yang kuat berdasarkan masalah ini adalah wajib bagi wanita menutup
wajah daripada lelaki ajnabi”.
Ulama-ulama yang mewajibkan menutup wajah adalah
kerana supaya dapat mengelakkan fitnah terhadap wanita daripada lelaki. Mereka
juga menggunakan kaedah “mencegah kerosakan didahulukan berbanding manfaat”.
Kaedah tersebut adalah benar akan tetapi sekira
ia tidak menimbulkan fitnah pada seseorang maka menutup wajah adalah tidak
wajib. Berkata Imam al-Kauthari: “pendapat ulama yang harus menunjukkan muka
adalah sekiranya tidak menimbulkan fitnah”.
Hadits daripada ‘Aisyah radhiyallahu’anha beliau
berkata: Asma binti Abu Bakar masuk menemui Rasulullah sallallahu’alaihi
wsallam sedangkan beliau berpakaian nipis, maka Rasulullah sallallahu’alaihi
wasallam berpaling daripadanya dan berkata: “Wahai Asma, sekiranya wanita yang telah
mengalami haid maka dia tidak boleh menampakkan aurat kecuali ini dan itu,
beliau mengisyaratkan pada wajah dan kedua tapak tangan”. (HR Abu Daud no.
4104, Dha’if)
Bahkan ketika berihram para wanita dilarang
untuk menutup wajahnya. Berdasarkan hadis berikut dalam al-Muwattha’: “لا تنتقب المرأة
المحرمة ولا تلبس القفازين” ertinya: “Janganlah wanita yang berihram
(haji/umrah) menutup mukanya dan memakai sarung tangan”. Bukankah menutup wajah ketika ihram adalah
lebih utama kerana terdapat ramai lelaki ajnabi yang melihat mereka.
Sebahagian ulama mengtakan hanya muka dan tapak
tangan adalah aurat ketika dalam solat akan tetapi ketika di luar solat adalah
seluruh badan.
Daripada Jabir radhiyallahu’anh
beliau berkata: Pada hari ‘eid saya pernah solat bersama Rasulullah
sallallahu’alaihi wasallam beliau memulai solat sebelum khutbah kemudian beliau
berdiri dengan bersandar pada Bilal sehingga beliau datang pada para wanita dan
menasihat mereka serta meningatkan mereka dan memerintah mereka bertaqwa kepada
Allah. Beliau bersabda: “Bersedekahlah, kemudian beliau menyebut sebahagian
perkara jahanam. Maka berdirilah seorang wanita dari tengah-tengah mereka yang kedua
pipinya berbintik hitam lalu berkata: Kenapa wahai Rasulullah? Baginda
menjawab: Kerana kalian banyak mengeluk banyak melaknat dan suka ingkar kepada
suami. Kemudian mereka mengambil sebahagian daripada perhiasan anting dan
cincin mereka lalu meletakkan dalam kain yang dibawa oleh Bilal sebagai
sedekah". (HR ad-Darimi no. 1560, hasan shahih)
Hadits di atas menunjukkan bahawa
wanita tersebut tidak menutupkan wajahnya. Sekiranya wajah adalah aurat sudah
pasti ia akan menutupnya atau akan ditegur oleh Rasulullah sallallahu’alaihi
wasallam. Menutup wajah hanya arahan supaya dapat menundukkan pandangan seorang
lelaki terhadap wanita.
Daripada ‘Abdullah Ibn Abbas
radhiyallahu’anh, beliau berkata: Al-Fadhl mengikuti Rasulullah
sallallahu’alaihi wasallam lalu datang seorang wanita dari suku Kasy’am dan
al-Fadh melihatnya . Lalu dia pun melihat al-Fadhl maka Nabi sallallahu’alaihi
wasallam memalingkan wajah al-Fadhl kearah lain. Wanita itu berkata:
“wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah telah mewajibkan hamba-Nya menunaikan
haji, bapaku sudah tua dan ia tidak mampu duduk atas unta. Apakah (boleh) aku
menghajikannya (mewakilinya) “? Baginda bersabda: Ya, yang demikian terjadi
pada haji wida’. (HR Bukhari no. 1513)
Berdasarkan tindakan yang
dilakukan oleh Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam, baginda memalingkan wajah
lelaki yang melihat seorang wanita ini menunjukkan bahawa menutup wajah tidak
wajib akan tetapi menundukkan atau memalingkan pandangan adalah wajib terhadap
wanita kerana ia boleh menimbulkan fitnah.
Bahkan dalam surah an-Nur Allah
ta’ala telah berfirman supaya para lelaki menundukkan pandangan pada ayat ke-30
dan pada ayat ke-31 diperintahkan pula kepada para wanita.
Akan tetapi terdapat juga riwayat
ketika ‘Aisyah radhiyallahu’anha berihram berihram dan bersama-sama Rasulullah
sallallahu’alaihi wasallam, apabila lalu penunggang-penunggang daripada
kalangan lelaki beliau menutup wajahnya dengan kainnya apabila sudah lepasi
beliau membukanya (HR Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad bin Hanbal dalam
Musnadnya)
Khilaf ulama terhadap hukum
purdah adalah kerana percanggahan hadits “wanita adalah aurat” dan juga ayat
al-Quran surah an-Nur ayat 31 serta hadits berkaitan dilarang menutup wajah
ketika ihram. Akan tetapi, Syeikh al-Albani berkata: “Hadits yang umum tidak
boleh meletakkan hukum wajah dan tapak tangan itu termasuk aurat". Oleh yang
demikian hadits di atas (wanita adalah aurat) tidak termasuk muka dan tapak
tangan. Prinsip ini tidak pernah bertentangan dengan amalan para sahabat
(salaf). (Majmu’ah Fatawa al-Madinah al-Munawwarah Fatwa-Fatwa al-Albani hal.
150-154 Pustaka at-Tauhid)
Wallahu'alam.