Saturday, March 1, 2014

~PURDAH~ : Kebaikan yang dilupakan

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamu'alakum warahmatullahi wabarakatuh.



Pendapat Mazhab Hanafi: Wajah wanita bukanlah aurat namun memakai purdah hukumnya sunnah (dianjurkan) dan menjadi wajib jika dikhuatiri wanita berkenaan akan menimbulkan fitnah.
Pendapat Mazhab Maliki: Bahawa wajah wanita bukanlah aurat namun memakainya hukumnya sunnah (dianjurkan) dan menjadi wajib apabila dikhuatiri wanita berkenaan menimbulkan fitnah. Bahkan sebahagian ulama mazhab Maliki berpendapat seluruh tubuh wanita itu adalah aurat.
Pendapat Mazhab Syafi’i: Aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi adalah seluruh badan sehingga sehingga mereka mewajibkan wanita memakai purdah di hadapan lelaki ajnabi. Inilah pendapat mu’tamad mazhab Syafi’i.

Imam Ahmad bin Hambal rahimahullah berkata عورة حتى ظفر : كل شيء منها أي من المرأة  الحرةSetiap  bahagian tubuh wanita adalah aurat termasuk pula kukunya

Dalil yang digunakan oleh kebanyakan ulama yang mewajibkan purdah adalah bersandarkan kepada dalil “المرأة عورة” iaitu “wanita adalah aurat”.  Imam at-Tirmidzi mengatakan bahawa hadits ini hasan gharib dan Syeikh al-Albani mengshahihkannya.

Hadits di atas adalah bersifat umum dan majoriti ulama mengatakan bahawa wajah bukan aurat berbanding minoriti mengatakan wajah adalah aurat.
Syeikh Soleh al-Uthaimeen rahimahullah berkata: “Pendapat yang kuat berdasarkan masalah ini adalah wajib bagi wanita menutup wajah daripada lelaki ajnabi”.

Ulama-ulama yang mewajibkan menutup wajah adalah kerana supaya dapat mengelakkan fitnah terhadap wanita daripada lelaki. Mereka juga menggunakan kaedah “mencegah kerosakan didahulukan berbanding manfaat”.

Kaedah tersebut adalah benar akan tetapi sekira ia tidak menimbulkan fitnah pada seseorang maka menutup wajah adalah tidak wajib. Berkata Imam al-Kauthari: “pendapat ulama yang harus menunjukkan muka adalah sekiranya tidak menimbulkan fitnah”.

Hadits daripada ‘Aisyah radhiyallahu’anha beliau berkata: Asma binti Abu Bakar masuk menemui Rasulullah sallallahu’alaihi wsallam sedangkan beliau berpakaian nipis, maka Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam berpaling daripadanya dan berkata:  “Wahai Asma, sekiranya wanita yang telah mengalami haid maka dia tidak boleh menampakkan aurat kecuali ini dan itu, beliau mengisyaratkan pada wajah dan kedua tapak tangan”. (HR Abu Daud no. 4104, Dha’if)

Bahkan ketika berihram para wanita dilarang untuk menutup wajahnya. Berdasarkan hadis berikut dalam al-Muwattha’: “لا تنتقب المرأة المحرمة ولا تلبس القفازين” ertinya: “Janganlah wanita yang berihram (haji/umrah) menutup mukanya dan memakai sarung tangan”.   Bukankah menutup wajah ketika ihram adalah lebih utama kerana terdapat ramai lelaki ajnabi yang melihat mereka.

Sebahagian ulama mengtakan hanya muka dan tapak tangan adalah aurat ketika dalam solat akan tetapi ketika di luar solat adalah seluruh badan.

Daripada Jabir radhiyallahu’anh beliau berkata: Pada hari ‘eid saya pernah solat bersama Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam beliau memulai solat sebelum khutbah kemudian beliau berdiri dengan bersandar pada Bilal sehingga beliau datang pada para wanita dan menasihat mereka serta meningatkan mereka dan memerintah mereka bertaqwa kepada Allah. Beliau bersabda: “Bersedekahlah, kemudian beliau menyebut sebahagian perkara jahanam. Maka berdirilah seorang wanita dari tengah-tengah mereka yang kedua pipinya berbintik hitam lalu berkata: Kenapa wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Kerana kalian banyak mengeluk banyak melaknat dan suka ingkar kepada suami. Kemudian mereka mengambil sebahagian daripada perhiasan anting dan cincin mereka lalu meletakkan dalam kain yang dibawa oleh Bilal sebagai sedekah". (HR ad-Darimi no. 1560, hasan shahih)

Hadits di atas menunjukkan bahawa wanita tersebut tidak menutupkan wajahnya. Sekiranya wajah adalah aurat sudah pasti ia akan menutupnya atau akan ditegur oleh Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam. Menutup wajah hanya arahan supaya dapat menundukkan pandangan seorang lelaki terhadap wanita.

Daripada ‘Abdullah Ibn Abbas radhiyallahu’anh, beliau berkata: Al-Fadhl mengikuti Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam lalu datang seorang wanita dari suku Kasy’am dan al-Fadh melihatnya . Lalu dia pun melihat al-Fadhl maka Nabi sallallahu’alaihi wasallam memalingkan wajah al-Fadhl kearah lain. Wanita itu berkata: “wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah telah mewajibkan hamba-Nya menunaikan haji, bapaku sudah tua dan ia tidak mampu duduk atas unta. Apakah (boleh) aku menghajikannya (mewakilinya) “? Baginda bersabda: Ya, yang demikian terjadi pada haji wida’. (HR Bukhari no. 1513)

Berdasarkan tindakan yang dilakukan oleh Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam, baginda memalingkan wajah lelaki yang melihat seorang wanita ini menunjukkan bahawa menutup wajah tidak wajib akan tetapi menundukkan atau memalingkan pandangan adalah wajib terhadap wanita kerana ia boleh menimbulkan fitnah.

Bahkan dalam surah an-Nur Allah ta’ala telah berfirman supaya para lelaki menundukkan pandangan pada ayat ke-30 dan pada ayat ke-31 diperintahkan pula kepada para wanita.

Akan tetapi terdapat juga riwayat ketika ‘Aisyah radhiyallahu’anha berihram berihram dan bersama-sama Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam, apabila lalu penunggang-penunggang daripada kalangan lelaki beliau menutup wajahnya dengan kainnya apabila sudah lepasi beliau membukanya (HR Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad bin Hanbal dalam Musnadnya)


Khilaf ulama terhadap hukum purdah adalah kerana percanggahan hadits “wanita adalah aurat” dan juga ayat al-Quran surah an-Nur ayat 31 serta hadits berkaitan dilarang menutup wajah ketika ihram. Akan tetapi, Syeikh al-Albani berkata: “Hadits yang umum tidak boleh meletakkan hukum wajah dan tapak tangan itu termasuk aurat". Oleh yang demikian hadits di atas (wanita adalah aurat) tidak termasuk muka dan tapak tangan. Prinsip ini tidak pernah bertentangan dengan amalan para sahabat (salaf). (Majmu’ah Fatawa al-Madinah al-Munawwarah Fatwa-Fatwa al-Albani hal. 150-154 Pustaka at-Tauhid)

Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment