Saturday, September 8, 2012

Aqidah Syi'ah 1

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...


Untuk artikel-artikel sebelum ini ana sudah menceritakan tentang kalam ulama-ulama tentang syi'ah serta penyelewengan syi'ah. Insya-Allah untuk kali ini ana akan berkongsi tentang aqidah yang diimani oleh kelompok syi'ah ini.

Terdapat tiga i'tiqad yang diimani oleh golongan syi'ah ini antaranya ialah Raj'ah (رجع), at-Thiinah (الطينة) dan Taqiyyah (تقية). Seringkali yang biasa kita dengar hanyalah taqiyyah dan yang dua lagi mungkin jarang-jarang atau tidak pernah kita dengar. Takrifan dari segi bahasa ketiga-tiga ini ialah:

-Raj'ah (رجع) bermaksud kembali atau pulang.
-At-Thiinah (الطينة) bermaksud tanah.
-Taqiyyah (تقية) bermaksud berpura-pura atau mengatakan sesuatu bukan yang diyakini.

Ana hanya akan menerangkan salah satu saja daripada tiga aqidah syi'ah untuk artikel kali ini iaitu raj'ah (رجع). 

Berkata al-Mufid: "Telah sepakatnya mazhab Imamiyah telah terjadinya raj'ah (رجع) di kebanyakan para orang yang telah mati".[1] Iaitu (mereka yang dimaksudkan dengan raj'ah ini) bangkitnya penutup imam-imam mereka, yang bernama al-Qaaim (القائم) pada akhir zaman. ia keluar daripada bangunan di bawah tanah, lalu menyembelih seluruh musuh-musuh politiknya dan mengembalikan kepada syi'ah hak-hak mereka yang dirampas oleh kelompok-kelompok lain sepanjang masa (yang telah berlalu).[2]

Berkata Sayyid al-Murtadho dalam kitab Masail an-Nashiriyah: "Sesungguhnya Abu Bakar dan Umar disalib  pada saat itu di suatu pohon pada zaman al-Mahdi (imam mereka yang kedua belas) yang mereka beri nama Qaaim 'Ali Muhammad (penegak keluarga Muhammad) dan pohon itu pertamanya basah sebelum penyaliban, lalu menjadi kering setelahnya".[3]

Berkata al-Majlisi dalam kitab Haq al-Yakin daripada Muhammad al-Baqir berkata: "Jika al-Mahdi telah keluar maka sesungguhnya ia akan menghidupkan 'Aisyah Umm al-Mukminin dan ia melaksanakan (menjatuhkan) hukum had (hudud) ke atas diri 'Aisyah".[4]

Kemudian bagi mereka pemahaman raj'ah ini berkembang dan mengatakan (berlakunya) raj'ah (kembali hidup) seluruh orang syi'ah dan imam-imam mereka. Aqidah khurafat ini mengungkapkan rasa dengki yang tersembunyi dalam diri mereka yang mereka mengungkap rasa dengki itu dengan cerita dongeng seperti ini. Dan adalah keyakinan ini merupakan sarana (jalan) yang diambil oleh orang-orang Sabaiyah (pengikut Abdullah bin Saba) untuk mengingkari hari akhirat.[5]

Demikianlah sikap syi'ah laknatullah terhadap para sahabat dan isteri Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam sehingga sanggup mereka-reka cerita untuk memburuk-burukkan para sahabat dan isteri Baginda sallallahu'alaihi wasallam. I'tiqad yang mereka imani ini bertentangan dengan i'tiqad Ahl as-Sunnah wa al-Jama'ah. Mereka juga mengingkari akan adanya hari akhirat yang terdapat dalam rukun iman yang kelima. Rasulullah juga pernah bersabda:[6]

"Janganlah kalian mencaci para sahabatku! sekiranya seseorangdaripada kamu menafkahkanemas sebesar gunung Uhud sekalipun,tidak akan sama ganjaran yang dilakukan oleh mereka walaupun secupak mahupun setengah".[7]

Ini merupakan dalil bahawa sahabat radhiyallahu'anhum ajma'in adalah sebaik-baik umat jangan sewenang-wenangnya kita sebagai umat Islam mengikuti sikap golongan syi'ah laknatullah ini, insya-Allah untuk lain kali ana akan menerangkan pula tentang dua lagi aqidah yang diimani oleh syi'ah (Taqiyyah dan at-Thiinah). Wallahu'alam. ~Katakan Tidak Pada Syi'ah~

Nota Kaki:

[1] Awaail al-Maqaalaat oleh al-Mufid, hal. 51.

[2] Al-Khuthuth al-'Ariidhah oleh Muhibbudin al-Khatib , hal. 80.

[3] Awaail al-Maqaalaat oelh al-Mufid, hal. 95.

[4] Haqul Yakin oleh Muhammad al-Baqir al-Majlisi, hal. 347.

[5] Komen penterjemah oleh Muhammad Elvi Syam.

[6] Komen penulis.

[7] Shahih Bukhari: 3470 dan Muslim: 2541.





Sunday, September 2, 2012

Penyelewengan Syi'ah

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...


Artikel sebelum ini ana ada menjelaskan takrifan syi'ah serta kalam ulama-ulama Ahl as-Sunnah wa al-Jama'ah berkaitan dengan syi'ah ini (http://afiqfikri99.blogspot.com/2012/08/katakan-tidak-pada-syiah.html). Insya-Allah artikel kali ini ana akan cuba dedahkan penyelewengan syi'ah terhadap i'tiqad Ahl as-Sunnah wa al-Jama'ah.

Sebelum itu, kita juga perlu tahu bahawa ajaran syi'ah semakin tersebar di negara kita yang tercinta iaitu Malaysia. Ajaran ini banyak tersebar dalam kalangan mahasiswa atau golongan yang baru ingin mengenali Islam. Bukan itu sahaja, ia juga semakin mendapat tempat dalam sesebuah parti politik. Oleh sebab itu, pentingnya para asatizah mendedahkan serta menerangkan kesesatan syi'ah ini.

Syi'ah terbahagi kepada beberapa kelompok seperti syi'ah Imamiyah, syi'ah Ja'fariyyah, syi'ah Zaidiyah, syi'ah Isma'iliyyah dan sebagainya. Insya-Allah untuk kali ini ana akan memberitahu penyelewengan syi'ah daripada tiga sudut iaitu dari sudut 'akidah, syari'at dan pelbagai penyelengan umum.

Penyelewengan Syi'ah Dari Sudut 'Akidah:

  • Khalifah diwasiatkan secara nas.
  • Imam adalah ma'sum.
  • Ilmu Allah berubah-ubah mengikut sesuatu peristiwa yang berlaku kepada manusia.
  • Kemunculan semula Imam Mahdi dan juga orang yang telah mati untuk memberikan keadilan.
  • Berpura-pura (taqiyyah) iaitu menyatakan dengan lisan yang menyalahi hati kerana takut kemudharatan diri walaupun yang disembunyikan itu perkara yang benar.
  • Konsep al-Mahdiah iaitu kepercayaan kepada Muhammad Hassan al-Askari sebagai Imam Mahdi al-Muntazar.
  • Penyanjungan yang keterlaluan kepada Saidina 'Ali bin Abi Thalib.
  • Mengkafirkan para sahabat Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam.
  • Menuduh Abu Bakar as-Siddiq, 'Umar al-Khattab, 'Uthman bin 'Affan, dan Mu'awiyah bin Abi Sufyan sebagai empat berhala serta pengikut-pengikut mereka adalah musuh Allah.
  • Hanya 'Ali dan para Imam sahaja yang menghafal dan mengumpul al-Quran dengan sempurna.
  • Menghalalkan nikah mut'ah
  • Menambah nama Saidina 'Ali bin Abi Thalib dalam syahadah.
  • Menolak hadits yang diriwayatkan oleh Ahl as-Sunnah wa al-Jama'ah sekalipun hadits mutawatir.

Penyelewengan Syi'ah Dari Sudut Syari'at:
  • Menolak ijmak ulama.
  • Menolak qias.
  • Mengamalkan nikah mut'ah.

Pelbagai Penyelewengan Umum:
  • Menziarahi kubur Saidina Hussein, ganjarannya syurga.
  • Menyeksa tubuh badan sempena 10 Muharam bagi menangisi kematian Saidina Hussein.
  • Menghina isteri Nabi sallallahu'alaihi wasallam.
  • Mengharuskan jamak solat dalam semua keadaan tanpa sebarang sebab.
  • Imamah dan Khalifah sebahagian daripada rukun Islam dan ia berlaku melalui nas.
  • Solat Dhuha adalah bid'ah.
  • Islam bukanlah syarat wajib haji.
  • Wajib menyapu kedua-dua kaki dan tidak memadai hanya mmembasuh kedua-duanya.

Demikianlah penyelewengan-penyelewengan yang dilakukan syi'ah. Terdapat banyak lagi penyelewengan yang dilakukan oleh syi'ah laknatullah terdapat agama yang tertegak berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah. Mungkin saudara/ri boleh mengkaji lagi tentang syi'ah ini. Insya-Allah pendedahan akan terus dilakukan mengenai syi'ah ini supaya masyarakat Islam serta bukan Islam dapat mengenal apa itu syi'ah. Wallahu'alam. 

Friday, August 31, 2012

Katakan TIDAK Pada SYI'AH!!!

 بسم الله الرحمن الرحيم 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...


Syi'ah bermaksud golongan, atau kelompok dari segi bahasa. Dari segi istilah pula ialah setiap orang yang setia kepada 'Ali bin Abi Thalib dan Ahl al-Bait radhiyallahu'anhum sehingga ia menjadi gelaran yang khusus kepada mereka.

Antara faktor yang masyhur tetubuhnya golongan syi'ah ialah peranan 'Abdullah bin Saba' seorang Yahudi yang berpura-pura memeluk Islam untuk menghancurkan Islam daripada dalam. Syi'ah juga adalah golongan yang suka mencaci para sahabat yang bukan Ahl al-Bait bahkan mengkafirkan mereka. Allahul musta'an.

Antara pendapat imam-imam besar tentang syi'ah ini:

1. Imam Malik bin Anas rahimahullah pernah ditanya tentang Rafidhah (syi'ah). Jawab beliau: "Janganlah engkau berkata-kata dengan mereka dan jangan engkau meriwayatkan daripada mereka kerana sesungguhnya mereka merupakan pembohong". (Minhaj as-Sunnah 1/161, Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyah)

2. Sufyan ats-Tsauri rahimahullah pernah ditanya oleh seorang lelaki tentang orang-orang yang mencaci Abu bakar dan 'Umar, lalu beliau menjawab: "Orang itu telah kafir kepada Allah yang maha besar". (Siyar 'Alaam an-Nubala' 7/253, Imam az-Zahabi)

3. Imam Ahmad bin Hanbal pernah ditanya oleh anaknya, Abdullah bin Ahmad, tentang orang yang mencaci Abu bakar, 'Umar dan 'Aisyah, lalu beliau menjawab: "Menurutku dia tidak berada dalam Islam". (as-Sunnah 1/493, al-Khallal)

4. Imam asy-Syafi'i rahimahullah berkata: "Aku tidak pernah melihat seorang pun ahli bid'ah yang lebih pembohong dalam pengakuannya dan penyaksiannya selain daripada Rafidhah (syi'ah)". (al-Ibaanah al-Kubra 2/545, Ibnu Baththah)

5. Imam al-Bukhari rahimahullah berkata: "Aku tidak peduli (sama saja bagiku) apakah aku solat di belakang seorang Jahmiyah dan seorang Rafidhah atau aku solat di belakang Yahudi dan Nashara. Jangan memberi salam kepada mereka dan jangan menjenguk mereka dan jangan saling menikahi mereka dan jangan menghadiri (jenazah) mereka dan jangan dimakan sembelihan mereka". (Khalqu 'Af'aal al-'Ibaad hal. 25)

Inilah antara kalam daripada imam-imam besar Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah tentang syi'ah. Insya-Allah untuk lain kalinya ana akan cuba menulis tentang kesesatan syi'ah. Semoga apa yang dilakukan bernilai 'ibadah oleh Allah jalla wa 'ala. Berhati-hatilah dengan syi'ah. Wallahu'alam.

Ini ada ebook yang ditulis oleh Ustaz Hafiz Firdaus 'Abdullah tentang "Pengenalan kepada Syi'ah Rafidhah":


~Selamat Membaca~ ^_^




Tuesday, August 21, 2012

Bernikahlah Wahai Pemuda !!!

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...


Selepas tamatnya bulan Ramadan, datang pula bulan kegembiraan umat Islam iaitu Syawal. Ketika umat Islam ramai yang bergembira menyambut hari raya tidak dilupakan juga bagi yang bakal mendirikan rumah tangga. Insya-Allah penulisan ini ditulis atas sebab kebosanan, semoga sahabat-sahabat yang bujang dapat ambil manfaat. :)

Dari 'Abdullah bin Mas'ud radhiyallahu'anh, bahawa Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam bersabda:
"Wahai pemuda. barangsiapa antara kamu yang telah sanggup untuk bernikah maka hendaklah dia bernikah. Kerana dengan bernikah itu akan menundukkan lagi pandangan (matamu) dan membentengi faraj (mu). Dan barangsiapa yang belum mampu maka hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu adalah merupakan pendinding". (Shahih Bukhari:1905, Muslim:1400 dan lain-lain)
Hadits di atas merupakan nasihat serta petunjuk Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam kepada para pemuda untuk bernikah sekiranya mampu. Bagi yang tidak mampu (menahan syahwat) hendaklah ia berpuasa. Inilah antara peringatan Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam kepada para pemuda yang mempunyai penyakit dalam diri.

Kemampuan yang dimaksudkan ialah memberikan mahar (mas kahwin), menyediakan tempat tinggal dan memberikan nafkah. Ini sebagaimana yang termaktub dalam al-Quran, sama-sama kita hayati firman-Nya:
"Berikanlah mahar (mas kahwin) kepada wanita-wanita (yang kamu nikahi) sebagai satu kewajiban". (an-Nisaa':4)
"Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu tinggal". (at-Thalaaq:6)
"Kaum lelaki itu adalh pemimpim bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebhagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka". (an-Nisaa':34)
Walaupun begitu, sebahagian pemuda yang memberikan alasan untuk tidak bernikah anntaranya, 'tidak cukup duit', 'ibubapa tidak bagi kahwin awal', 'nak cari yang lagi cantik' dan sebagainya. Ini antara punca sebab berlakunya penzinaan serta seks bebas dalam kalangan remaja. Bagi yang miskin tetapi mampu cukuplah sekadar yang mampu dengan memberi mahar (mas kahwin) yang ringan, tempat tinggal yang sederhana dan memberi nafkah sekadar yang mampu. Kaya dan miskin adalah perkara yang berubah-ubah, adakalanya sekarang kita kaya mana tahu kemudian harinya kita miskin pula. Inilah putaran hidup seorang manusia di muka bumi Allah ini. Allah subhanahu wa ta'ala berfirman:
"Dan nikahkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu dan orang shalih daripada hamba-hamba sahaya kamu yang lelaki dan hamba-hamba sahaya kamu yang perempuan. Dan jika mereka miskin, nescaya Allah akan memberikan kemampuan kepada mereka daripada sebahagian kurniaan-Nya. Dan Allah maha luas (pemberiannya) lagi maha mengetahui". (an-Nur:32)
Bagi sesiapa yang benikah Allah ta'ala akan memberikan kurniaan-Nya dengan kemurahan rezeki dan kekayaan jiwa. Dalam suatu hadits shahih diterangkan ada seorang sahabat yang hendak menikahi seorang perempuan namun dia tidak dapat memberikan mahar kerana terlalu miskin, bahkan mahar (mas kahwin) yang terbuat daripada cincin besi pun dia tidak memilikinya, lalu Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam bersabda:
 "Pergilah (bawalah perempuan ini) kerana sesungguhnya aku telah kahwinkan engkau dengan perempuan ini dengan (mahar) apa yang ada padamu (yang engkau hafal) daripada al-Quran". (Shahih Bukhari:5126 dan Muslim:1425)
Hadits di atas sebagai bukti bahawa cukuplah sekadar al-Quran sebagai mahar (mas kahwin) bagi yang mampu bernikah tetapi miskin. Para wanita juga perlulah mengurangkan mahar (mas kahwin) bagi memudahkan para lelaki untuk masuk meminang. Sekali lagi diperingatkan dengan hadits Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam:
"Sesungguhnya antara keberkatan perempuan itu ialah senang meminangnya, ringkas maharnya dan mudah rahimnya". (Diriwayatkan oleh Ahmad, Ibnu hibban dan al-Hakim. Riwayat al-Hakim dishahihkan oleh az-Zahabi, manakala riwayat Ahmad dan Ibnu Hibbab dihasankan oleh Syu'aib al-Arna'uth)
Dan Allah ta'ala telah memberikan harapan yang besar bagi para pemuda yang menikah kerana ingin memelihara diri daripada perkara haram. Daripada Abu Hurairah radhiyallahu'anh, Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam bersabda:
"Tiga orang yang sudah pasti mendapat pertolongan Allah, mujahid yang berperang di jalan Allah, seorang budak yang berusaha menebus (membayar) dirinya dan seorang lelaki yang menikah kerana ingin memelihara diri". (HR at-Tirmidzi:1665, an-Nasai:3120, Ibnu Majah:2518 dan lain-lain. Imam at-Tirmidzi mengatakan hadits ini hasan)
 Buat para syabab yang masih bujang apa yang ditunggu lagi. Jangan dijadikan alasan untuk menghalang perkara yang baik kecuali bagi yang tidak mampu. Para wanita juga harus bersedia serta mengurangkan mahar (mas kahwin) agar memudahkan pemuda-pemuda untuk masuk meminang. Memudahkan pernikahan merupakan satu sunnah. Sekiranya ada salah dan silap harap dapat ditegur. Barakallahu laka wabaraka 'alaika wa jama'a bainakuma fi khair, selamat pengantin baru bagi yang bakal mendirikan rumah tangga diucapkan. Wallahu'alam.


Friday, August 17, 2012

Amalan Sunnah Ketika Hari Raya

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...


Ramadan sudah sampai ke penghujung, hari kegembiraan bagi umat Islam pun semakin hampir. Ketika penghujung Ramadan yakni pada 28 hingga 30 Ramadan tentunya ramai ibubapa membawa anak-anak untuk membeli baju raya. Di samping keseronokkan menyambut jangan kita lupa juga kepada golongan yang memerlukan. Untuk artikel kali ini insya-Allah ana akan berkongsi tentang amalan-amalan sunnah ketika hari raya bagi umat Islam ('Eid al-Fitri dan 'Eid al-Adha).

Antara perkara-perkara sunnah ketika hari raya ialah:

1. Berpakaian cantik pada hari raya:
Daripada Jabir radhiallahu'anh katanya: "Nabi sallallahu'alaihi wasallam mempunyai sehelai jubah yang Baginda akan memakainya untuk dua hari raya dan hari jumaat". (Shahih Ibn Khuzaimah:1785)
Memakai pakaian cantik pada hari raya adalah untuk kaum lelaki. Adapun untuk kaum wanita mereka boleh mengenakan pakaian yang biasa (di sebelah luar/atasnya) seperti sabda Baginda sallallahu'alaihi wasallam:
"Jangan kamu tegah hamba perempuan Allah dari masjid Allah. tetapi hendaklah kaum wanita keluar dalam keadaan meninggalkan wangian". (HR Abu Daud dan Ahmad, Shahih)
Maksud hadits di atas ialah seorang wanita keluar dengan berpakaian biasa di luar dan tidak bertabarruj (berhias) dan tidak mengenakan wangian yang boleh dihidu oleh kaum lelaki. Sekiranya wanita berkumpul dalam kelompok mereka sahaja tidak mengapa berpakaian cantik.

2. Mandi hari raya sebelum keluar:
Daripada Nafi': "Sesungguhnya Abdullah Ibn 'Umar mandi pagi pada hari raya 'Eid al-Fitri sebelum keluar ke musholla". (Muwatha' Malik:384)
Berkata Syeikh Nashiruddin al-Albani dalam kitabnya 'Irwa al-Ghalil, al-Faryabi telah meriwayatkan daripada Sa'id Ibn Musayyab sesungguhnya beliau berkata: Perkara sunnah ada hari raya ada tiga:- 1.Berjalan kaki ke musholla, 2.Makan sebelum keluar, 3.Mandi (Sanadnya Shahih).

3. Haram berpuasa pada hari raya 'Eid al-Fitri dan 'Eid al-Adha:
Berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Abu Sa'id al-Khudri bahawa Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam bersabda: "Tidak ada puasa pada dua hari raya; 'Eid al-Fitri dan 'Eid al-Adha". (Shahih Bukhari:1197)
Berkata Imam an-Nawawi dalam syarah Shahih Muslim: Telah ijmak para ulama' atas keharaman berpuasa pada dua hari ini atas setiap perkara, samada puasanya itu merupakan puasa nazar, thatawwu', kifarah dan sebagainya.

4. Menyegerakan makan sebelum solat 'Eid al-Fitrah dan tidak makan sebelum solat 'Eid al-Adha:
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik radhiallahu'anh, ia berkata: Adalah Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam tidak berpagian (keluar pada waktu pagi) sehinggalah makan beberapa biji tamar dan Baginda memakannya dengan bilangan ganjil. (Shahih Bukhari:953)
Daripada Buraidah radhiallahu'anh bahawa Rasulullah sallallahu'alahi wasallam kebiasaannya tidak akan keluar daripada rumah (untuk pergi menunaikan solat raya) kecuali sehingga telah makan dan Baginda tidak makan pada hari raya haji melainkan selepas pulang (daripada hari raya). (Sunan Ibn Majah:1746, al-Albani mengatakannya shahih)
5. Bersolat di Musholla (tempat lapang):
 Daripada Abu Sa'id al-Khudri katanya: Adalah Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam keluar menuju tempat solat pada hari 'Eid al-Fitri dan 'Eid al-Adha di padang atau tanah lapang. (Shahih Bukhari)
Namun sebahagian fuqaha' memberi kelonggaran dibolehkan bersolat hari raya dalam masjid sekiranya pagi itu hujan dan lain-lain keuzuran yang tidak memungkinkan ia dilaksanakan di padang atau tanah lapang.

6. Berjalan kaki ke musholla:
Daripada Ibn 'Umar beliau berkata: Adalah Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam keluar pada hari raya dalam keadaan berjalan kaki dan pulang dan pulang dalam keadaan berjalan kaki. (Sunan Ibn Majah, al-Albani mengatakan hasan)
Daripada 'Ali bin Abi Thalib berkata: Di antara sunnah itu ialah kamu keluar pada hari raya dengan berjalan kaki dan kamu memakan sedikit sebelum keluar.
Berkata at-Tirmidzi rahimahullah: Perbuatan daripada hadits ini di sisi ahli ilmu; digalakkan seseorang lelaki keluar rumah dengan berjalan kaki dan digalakkan supaya tidak menunggang melainkan dalam keuzuran.

Berkata as-Shan'ani dalam kitab Subul as-Salam: Adalah Ibn 'Umar keluar pada hari raya dalam keadaan berjalan kaki dan pulang dalam keadaan berjalan kaki.

7. Pergi dan pulang dari musholla dengan jalan yang berbeza:
Daripada Jabir Ibn 'Abdillah radhiallahu'anhuma katanya: Adalah Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam, pada hari raya Baginda membezakan jalan (pergi dan pulang dari solat hari raya). (Shahih Bukhari:986)
Daripada Abdullah Ibn 'Umar: "Sesungguhnya Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam melalui suatu jalan pada hari raya, kemudian pulang melalui jalan yang lain". (Sunan Abu Daud:254, al-Albani mengatakan shahih)
8. Bertakbir pada hari raya 'Eid al-Fitri dan 'Eid al-Adha:

Berkata as-Shan'ani dalam Subul as-Salam: Bertakbir pada kedua hari raya adalah disyariatkan. Adapun dalil bertakbir pada hari 'Eid al-Fitri ialah dari surah al-Baqarah ayat 185:
"Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada kamu, supaya kamu bersyukur".
Daripada az-Zuhri: "Sesungguhnya Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam keluar pada hari 'Eid al-Fitri lalu bertakbir sehingga sampai ke musholla dan sehingga selesai solat apabila selesai solat Baginda menamatkan takbir". (Silsilah al-Ahadits as-Shahihah:1/331, al-Albani)
9. Bentuk takbir:
Daripada Ibn Mas'ud radhiallahu'anh: Sesungguhnya beliau berkata: الله اكبر الله اكبر لا اله الا الله والله اكبر الله اكبر ولله الحمد. (Musannaf Ibn Abi Syaibah, Kitab Solat al-'Eidain)
al-Mahamily meriwayatkan dengan sanad yang shahih juga tentang lafaz takbir Ibn Mas'ud: الله اكبر كبيرا الله اكبر كبيرا الله اكبر وأجل الله اكبر ولله الحمد. ('Irwa al-Ghalil:3/126)

10. Ucapan tahni'ah pada hari raya:

Berkata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah dalam Majmu' al-Fatawa: Adapun tahni'ah pada hari raya, ucapan sebahagian mereka kepada sebahagian yang lainnya apabila berjumpa selepas solat hari raya: "Taqabbalallahu minna wa minkum" maksudnya: "Semoga Allah menerima amalan kami dan kalian".

Amalan ini juga telah diriwayatkan sebahagian sahabat bahawa mereka melakukannya. Akan tetapi berkata Imam Ahmad: "Aku tidak memulakan ucapan kepada seseorang, sekiranya seseorang memulakan ucapannya kepadaku maka aku akan menjawabnya; kerana menjawab ucapan yang baik adalah wajib. Adapun memulakan dengan tahni'ah maka ia bukanlah sunnah yang diperintahkan bukan juga sesuatu yang ditegah. Sesiapa yang melakukannya baginya qudwah dan sesiapa yang meninggalkannya baginya qudwah". Wallahu'alam.

Semoga amalan kita pada bulan Ramadan yang lalu diterima oleh-Nya dan juga artikel ini dapat memberi faedah kepada para pembaca dalam mengikuti sunnah. Salah dan silap saya mohon maaf kepada keluarga, sanak saudara dan sahabat-sahabat yang mengenali diri ini. Taqabbalallahu minna wa minkum.