Friday, July 5, 2013

Muflis di akhirat

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...


   Syurga dan neraka, pahala dan dosa semuanya atas kehendak Allah jalla wa 'ala. Seseorang manusia tidak berhak menentukan nasib saudara seagamanya sama ada ia ke neraka atau ke syurga.

   Barangkali orang yang dilihat nakal atau jahat tetapi di sisi Allah jalla wa 'ala dia adalah manusia yang mulia. Seseorang yang baik tidak dilihat pada pakaian. Barangkali pakaian yang dipakai adalah untuk menutup kejahatan yang ada pada dirinya dan sifat baik yang ditunjukkan adalah hanya semata-mata untuk riak. Sebaliknya, orang yang kusut masai, tidak mempunyai apa-apa dan dipandang hina oleh masyarakat tetapi amalan yang dilakukan adalah ikhlas kepada Allah subhanahu wa ta'ala.

   Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
                            ( ان الله لا ينظر إلى اجسامكم ولا الى صوركم ولكن ينظر إلى قلوبكم (رواه مسلم
 Ertinya: "Sesungguhnya Allah tidak melihat pada tubuh badan kamu dan tidak pada rupa paras kamu, akan tetapi Dia melihat pada hati kalian". (Riwayat Muslim)

   Begitu juga, sekiranya seseorang yang dilihat selalu melakukan solat, zakat, puasa dan amalan-amalan baik yang selainnya akan tetapi sikap suka mencela, memaki, menghina, menuduh, merampas harta orang, menganiaya orang dan sebagainya. Dia mungkin akan dipandang mulia oleh manusia di bumi akan tetapi di akhirat kelak dia adalah manusia yang muflis.

   Rasulullah bertanya kepada para sahabat baginda: "Tahukah kamu siapakah orang yang muflis"?

   Jawab para sahabat: "Orang yang muflis dalam kalangan kami adalah orang yang tiada dirham dan harta".

   Baginda bersabda: "Orang muflis dalam kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat nanti bersama solat, puasa dan zakatnya. Namun  dia pernah memaki orang menuduh orang memakan harta orang, menumpah darah orang dan memukul orang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Sekiranya pahala habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke neraka". (Riwayat Muslim)

   Begitulah betapa Allah jalla wa 'ala melihat kepada hamba-hambanya. Sekiranya kita ada kesalahan kepada Allah maka mintalah pengampunan kepadanya dan sekiranya ada kesalahan kepada saudara kita maka mintalah maaf dan ampun daripada saudara yang kita sakiti itu.



No comments:

Post a Comment