Friday, June 7, 2013

Agama itu Ilmu

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabaratuh...

   
   Setiap perbuatan atau kerja yang dilakukan mestilah dengan ilmu, termasuklah agama ini ia perlukan dengan ilmu bukan dengan rekaan.

   Untuk mendapatkan ilmu perlulah dengan dipelajarinya daripada orang yang betul 'alim dalam ilmu tersebut. Oleh sebab itu, al-Quran ada menyebut Allah 'azza wa jalla berfirman:
                                                     "...فسئلوا اهل الذكر ان كنتم لا تعلمون"
mafhumnya: "...maka bertanyalah kepada orang yang berfikir (yang ahli dalam bidangnya) sekiranya engkau tidak mengetahui" [al-Anbiya: 7]

   Berdasarkan firman Allah jalla wa 'ala di atas bermaksud bagi sesiapa yang tidak mengetahui atau tidak faham dalam sesuatu ilmu perlu ditanya kepada orang yang ahli dalamnya iaitu orang yang benar-benar pakar dalam bidangnya.

   Walaupun asbab al-nuzul di atas adalah disebabkan keingkaran golongan musyrikin Mekah terhadap Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam sebagai utusan yang diutuskan untuk menyampaikan cahaya kebenaran (Islam). Akan tetapi, tiada ulama yang berkhilaf makna umum ayat di atas yang bermaksud ilmu perlulah diambil daripada orang yang 'alim terhadap ilmu tertentu.

   Ibnu 'Athiyah menyebut:"اهل الذكر عام في كل من يعزى اليه علم" iaitu "ahli al-zikr umum bagi sesiapa yang menguasai olehnya ilmu"

   Seperti orang yang ingin tahu tentang ekonomi perlulah tanya pada 'alim ekonomi, untuk mengetahui tentang politik perlulah tanya kepada 'alim politik dan sebagainya. Begitu juga ilmu agama perlulah ditanya kepada yang ahli atau 'alim alam ilmu agama.

   Ilmu agama mempunyai furu' yang luas untuk memahaminya seperti ilmu 'Aqidah, Hadith dan Fiqh. Bukanlah bermaksud setiap orang yang 'alim dalam 'aqidah mengetahui tentang hadith dan orang yang memahami hadith tidak semestinya ia 'alim tentang ilmu fiqh begitulah seterusnya.

   Ilmu 'aqidah perlu dipelajari daripada orang yang 'alim dalam 'aqidah, ilmu hadith perlu dipelajari daripada orang yang 'alim dalam hadith dan ilmu fiqh perlu dipelajari daripada orang yang 'alim dalam fiqh. Agama ini merupakan ilmu dan perlu dipelajari daripada orang yang ahli dalamnya bukan dengan orang yang hanya pandai berkata-kata dan para pereka amalan yang tidak tsabit dalam agama. Ibnu Sirin rahimahullah menyebut:
                                            "ان هذا العلم دين فانظروا عمن تأخذوا دينكم"
maksudnya: "Sesungguhnya ilmu adalah agama, maka lihatlah daripada siapa kalian mengambil agama (ilmu)   kalian"

   Sekiranya seseorang mempelajari ilmu agama ini dengan bukan ahlinya yang 'alim maka orang tersebut akan menjadi sesat dan tidak akan dapat memahami keindahan dan kemudahan agama Islam ini.

   Agama merupakan ilmu yang perlu diambil daripada orang yang 'alim tentangnya bukan daripada orang yang hanya menceritakan kisah dusta dan mengagung-agungkan dirinya dengan magik-magik seperti dapat berjalan atas air, mampu terbang, boleh hilang sekelip mata dan sebagainya. Ini adalah jenayah dalam agama.

   Semoga Allah melindungi kita daripada golongan ini dan mempermudahkan kita memahami agama Islam.

                                         اللهم فقهنا في الدين وعلمنا تأويل وجعلنا من عبادك الراشدين
              


Saturday, April 6, 2013

Sebaik-baik Amalan

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


   Agama Islam adalah agama yang bertunjangkan dalil atau nas daripada al-Quran dan as-Sunnah. Ulama telah menggariskan satu kaedah:

الاصل العبادات التوقيفية الا بدليل شرعي يدل على ذلك، والاصل المعاملات الاباحة فلا يحرم شيء الا بدليل شرعي
"ِِAsal 'Ibadah adalah tauqifiyah (terhenti) melainkan dalil syara' (al-Quran dan as-Sunnah) yang menunjukkan atas perkara tersebut dan asal Mu'amalat adalah harus maka tidak haram melainkan dengan dalil (yang mengharamkannya".

   Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

                                الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا
mafhumnya: "Pada hari ini telah aku sempurnakan agamu untukmu dan telah aku cukupkan nikmat-Ku bagimu dan telah aku redhai Islam sebagai agamamu".

   Setiap perbuatan 'ibadah yang kita lakukan mesti berpandukan al-Quran dan as-Sunnah dengan kefahaman Salaf al-Ummah. Bukan dengan ikut-ikutan atau suruhan daripada ustaz-ustaz atau tok guru-tok guru tertentu.

   Dalam surah al-Mulk dalam ayat ke-2 yang menjelaskan ujian Allah jalla wa 'ala ke atas hamba-hamba-Nya dan apa yang dilihat bukan pada "اكثر عملا" banyaknya amalan akan tetapi "احسن عملا" sebaik-baik amalan.

Apakah yang dimaksudkan "sebaik-baik amalan"?

   Dalam Tafsir al-Quran al-'Azhim sebagaimana kata Muhammad bin 'Ajlan iaitu "خير عملا": Yang paling baik amalannya. Amalan yang paling baik adalah ikhlas setiap amalan yang dilakukan kerana Allah jalla wa 'ala dan ittiba' Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam.

   Dua aspek penting dalam amalan 'ibadah kepada Allah jalla wa 'ala:

1- Ikhlas melakukan 'ibadah kerana Allah subhanahu wa ta'ala.

2- Ittiba' (mengikuti) Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam.

   Semoga setiap perbuatan yang kita lakukan diterima dan mendapat gnajaran daripada Allah jalla wa 'ala. Aamiin.

Wallahu'alam.



Friday, February 22, 2013

Kamu "wahabi"

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...


W: Perkara ini adalah bid'ah kerana ia bertentangan dengan sunnah dan tidak ada fadhilat yang khusus  
      tentangnya.

S: Apasal pula? Aku dengar tok guru aku yang kata tentang fadhilatnya. Tok guru aku lebih alim daripada
    hang la. Takyah cakap banyaklah.

W: Dari mana sumber fadhilatnya yang tok guru kamu dapat?

S: Dari mimpi. Tok guru aku keturunan Rasulullah, dia boleh jumpa Rasulullah secara terus.

W: Bila masa pula mimpi boleh dijadikan sumber dalil? Sekiranya mimpi boleh dijadikan dalil maka rosaklah
     agama ini kerana manusia pasti akan berkata-kata yang dusta dengan menggunakan dalil mimpi.

S: Aku percaya guru aku lagi daripada hang sebab dia keturunan nabi.

W: Keturunan nabi bukanlah hujah kebenaran kata-katanya. Rasulullah sallallahu'alaihu wasallam bersabda:
     "Demi Allah, sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya aku potong tangannya". (HR Bukhari)
      Di mana  kamu campakkan hadith ini? Sedangkan anak Rasulullah mencuri pun akan dipotong tangan
      apatah lagi pengaku ahl al-bayt yang berdusta atas nama Baginda sallallahu'alaihi wasallam.

S: Kamu ni mesti "wahabi".

W: .......













Thursday, January 17, 2013

Sifat Malu

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


Setiap insan atau manusia mempunyai satu fitrah yang merupakan cabang daripada cabang-cabang iman iaitu sifat malu. Perkara ini sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam : "فإن الحياء من الإيمان" yang bermaksud: "sesungguhnya malu itu sebahagian daripada iman". [1]

Setiap manusia pasti akan ada sifat malu walaupun kadang-kadang tidak tahu malu. Ia merupakan fitrah bagi manusia sama ada lelaki atau wanita. Malu juga perlu kena pada tempatnya. Bukanlah bermaksud malu itu perlu setiap waktu sehingga menyebabkan menyusahkan diri sendiri dan orang lain.

Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam pernah bersabda: "الحياء لا يأتي الا بخير", bermaksud: "malu itu tidak datang melainkan dengan kebaikan". [2] Sifat malu ini dapat mencegah seseorang melakukan perbuatan mungkar seperti seorang wanita atau seorang lelaki dapat menjaga batas pergaulan dengan sifat malu ini iaitu tidak terlalu rapat yang kadang-kadang boleh menyebabkan masalah sosial bahkan setiap orang yang dibukakan aibnya pasti akan merasa malu terutamanya aib tentang kejahatan yang dilakukan.

Contoh teladan yang dapat kita contohi daripada sifat malu ini tidak lain tidak bukan daripada rasul junjungan kita Muhammad sallalahu'alaihi wasallam. Sebagaimana dalam hadith, kata Abu Sa'id al-Khudri radhiyallahu 'anh: "كان النبي صلى الله عليه وسلم أشد الحياء من العذراء في خدرها", bermaksud: "Bahawasanya Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam lebih dahsyat malunya daripada anak-anak dara dalam kelambunya". [3]

Malulah kalian dengan Tuhan kamu kerana dengan sifat malu ini kita akan menjadi patuh dan taat akan perintahnya kerana malu melakukan perkara yang dibenci oleh-Nya. Sifat malu juga menunjukkan akhlak seseorang dalam setiap  tindak tanduknya kerana sekiranya manusia tidak ada sifat malu mereka akan melakukan apa sahaja tanpa segan silu. Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam bersabda: "إن لكل دين خلقا وخلق الإسلام الحياء", yang bermaksud: "sesungguhnya setiap agama mempunyai akhlak dan akhlak bagi orang Islam adalah sifat malu". [4]

Lihatlah bagaimana sifat malu dapat menjaga akhlak seseorang serta merupakan sifat yang penting perlu ada dalam diri setiap muslim samaada lelaki ataupun wanita. Tanamlah sifat malu dalam diri agar dapat mencegah kita daripada melakukan perkara mungkar atau yang dibenci oleh Allah jalla wa 'ala.


[1] HR Bukhari dan Muslim

[2] HR Bukhari

[3] HR Bukhari

[4] HR Ibnu Majah, hadith hasan

Saturday, December 15, 2012

Aqidah Syi'ah 3

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...


  Insya-Allah untuk entry kali ini ana akan menerangkan serba sedikit tentang aqidah yang ketiga yang di'itiqadkan oleh golongan Syi'ah ini iaitu at-Thiinah (الطينة). Sebelum ini ana sudah menerangkan serba sedikit tentang dua aqidah yang di'itiqad oleh golongan Syi'ah ini iaitu Taqiyyah dan Raj'ah.

  Pertamanya, ana akan menerangkan definisi at-Thiinah (الطينة), apakah yang dimaksudkan dengan at-Thiinah (الطينة) ini menurut fahaman Syi'ah. Menurut Syi'ah at-Thiinah (الطينة) ialah tanah perkuburan Husain radhiyallahu 'anh. Salah seorang daripada orang-orang sesat mereka iaitu Muhammad Nu'man al-Haritsi yang digelar sebagai Syeikh al-Mufid telah menukil di dalam kitabnya al-Mazaar dari Abi 'Abdillah ia berkata: "Di tanah perkuburan Husain terdapat ubat untuk segala penyakit dan ia merupakan ubat yang paling besar".

  Berkata 'Abdullah: "Salitkanlah di mulut bayi kalian tanah (perkuburan) Husain".

  Ia ('Abdullah) berkata : "Telah dikirim kepada Abi Hasan Al-Ridha dari negeri Khurasan sebuah bungkusan kain di antaranya terdapat segumpal tanah, maka dikatakan kepada utusan itu : Apa ini? Ia berkata : Tanah perkuburan Husain, tidaklah ia mengirim sedikitpun dari bungkusan kain atau lainnya, kecuali ia meletakkan di dalamnya tanah itu, dan berkata tanah itu pengaman insya Allah. Dikatakan kepadanya : Sesungguhnya seorang lelaki bertanya kepada Shadiq tentang pengambilannya akan tanah perkuburan Husain, maka Shadiq menjawab : Apa bila kamu mengambilnya maka ucapkanlah : Ya Allah sesungguhnya saya meminta kepadamu disebabkan oleh hak malaikat yang telah mengenggamnya (tanah ini), dan meminta kepadamu, disebabkan oleh hak Nabi yang telah menyimpannya, dan oleh hak Al Washi (Ali) yang telah bersatu di dalamnya agar Engkau melimpahkan Selawat kepada Muhammad dan atas keluarga Muhammad dan agar Engkau menjadikannya ubat penawar untuk seluruh penyakit, dan pengaman dari seluruh ketakutan, dan penjaga dari seluruh kejahatan."

  Abu 'Abdillah ditanya tentang penggunaan dua jenis tanah dari perkuburan Hamzah dan pekuburan Husain serta mana yang paling utama diantara keduanya, maka ia berkata : "Tasbih yang dibuat dari tanah perkuburan Husain akan bertasbih (sendirinya) ditangan, tanpa (pemiliknya) bertasbih". [1]

  Sebagaimana orang Syi'ah mendakwakan, sesungguhnya orang syi'ah tercipta dari tanah yang khusus dan orang Sunni tercipta dari tanah yang lain, lalu terjadilah pengadukkan antara kedua tanah tadi dengan cara tertentu, maka apa-apa yang terdapat pada orang syiah dari kemaksiatan dan kejahatan, maka itu merupakan pengaruh dari tanah Sunni, dan apa-apa yang terdapat pada orang Sunni dari kebaikan dan amanah, maka itu disebabkan oleh pengaruh tanah Syi`ah. Dan apabila pada hari Kiamat nanti, maka kejelekan dan dosa-dosa orang Syi'ah diletakkan di atas Ahl as-Sunnah, dan kebaikan (pahala) Ahli Sunnah akan diberikan kepada orang Syi'ah. [2]

  Nauzubillahi min zalik, berikutlah ucapan-ucapan Syi'ah terhadap i'tiqad mereka terhadap tanah (perkuburan) Husain yang kononnya mempunyai keajaiban. Sangat jelas bahawa aqidah mereka telah menyimpang daripada aqidah Ahl as-Sunnah wa al-Jama'ah. Mereka (Syi'ah) juga telah mereka-reka cerita bahawa kejadian mereka daripada tanah yang berlainan dengan Sunni dan ini merupakan satu pendustaan yang jelas kerana dalam al-Quran sudah dijelaskan tetang proses kejadian manusia. Mereka (Syi'ah) telah melakukan pentakwilan berdasarkan akal mereka dan kebencian terhadap Ahl- as-Sunnah wa al-Jama'ah.

  Allah subhanahu wa ta'ala berfirman:
Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah,  Kemudian Dia menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati, iaitu dari air (benih) yang sedikit dipandang orang, Kemudian Dia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: Roh ciptaanNya. Dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur. (as-Sajdah: 7-9)
Dia menciptakan manusia (lembaga Adam) dari tanah liat kering seperti tembikar. (ar-Rahman: 14)
Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya. (al-Hijr: 26)
  Rujukan dan Sumber:

[1] Kitab Al Mazaar, oleh syeikh mereka yang bergelar Syeikh Al Mufid hal. 125.

[2] `Ilal-As Syaraai` hal. 490-491, Bihar Al-Anwar : 5/247-248.