Tuesday, August 7, 2012

Mencari Malam al-Qadr

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...


   Ramadan semakin hampir ke penghujungnya. Mungkin sekarang ini ramai umat Islam yang bersungguh-sungguh serta berlumba-lumba untuk melakukan ibadat untuk mendapat keberkatan serta keampunan daripada Allah jalla wa 'ala pada bulan yang mulia ini.

   Sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam:
"Barangsiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala maka akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu" (Muttafaqun 'alaih)
Pada hujung bulan yang mulia ini terdapat satu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan yang dinamakan sebagai Lailat al-Qadr. Pada malam ini jugalah al-Quran diturunkan kepada Baginda sallallahu'alahi wasallam. Sebagaimana yang disebut di dalam al-Quran di dalam surah al-Qadr ayat 1-5,
Allah berfirman: "Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Qur'an pada malam Lailatul Qadar, tahukah engkau apakah malam Lailat al-Qadr itu? Malam Lailat al-Qadar itu lebih baik dari seribu bulan, pada malam itu turunlah malaikat-malaikat dan Jibril dengan izin Allah Tuhan mereka (untuk membawa) segala urusan, selamatlah malam itu hingga terbit fajar."
Pada malam tersebut dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah,
Allah berfirman: "Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkahi dan sesungguhnya Kami-lah yang memberiperingatan. Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah, (yaitu) urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah maha mendengar lagi maha menngetahui". (ad-Dukhan: 3-6)
Keutamaannya sangat besar kerana malam ini menyaksikan turunnya al-Quran al-Karim yang membimbing manusia yang berpegang dengannya ke jalan yang mulia dan mengangkat ke darjat yang mulia. Umat Islam yang mengikuti sunnah Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam tidak akan memasang tanda-tanda tertentu dan tidak pula menancapkan  anak-anak panah untuk mengingati malam ini, akan tetapi mereka akan berlumba-lumba untuk bangun di malam harinya dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah subhanahu wa ta'ala.

   Antara waktu berlakunya Lailat al-Qadr sebagaimana diriwayatkan oleh Rasulullah bahawa malam tersebut berlaku pada malam 21,23,25,27,29 dan akhir malam bulan Ramadan.[1]

   Imam Syafi'i berkata: "Menurut pemahamanku. wallahu'alam, Nabi sallallahu'alahi wasallam menjawab sesuai yang ditanya, ketika ditanyakan kepada beliau: "Apakah kami mencarinya di malam ini?", Beliau menjawab: "Carilah di malam tersebut".[2]

   Pendapat yang paling kuat terjadinya malam al-Qadr itu pada malam terakhir bulan Ramadan berdasarkan hadits 'Aisyah radhiallahu'anha, dia berkata Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam ber'iktikaf di 10 hari terakhir di bulan Ramadan dan Baginda bersabda:
"Carilah Lailat al-Qadar di (malam ganjil) pada 10 hari yang terakhir pada bulan Ramadan".[3]
Jika seseorang terasa lemah atau tidak mampu, janganlah sampai tertinggal daripada tujuh hari yang terakhir kerana riwayat daripada Ibnu Umar, (dia berkata): Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam bersabda:
"Carilah di sepuluh hari terakhir, jika tidak mampu maka jangan sampai terluput tujuh hari sisanya".[4]
   Telah diketahui dalam sunnah bahawa pemberitahuan ini adalah kerana perdebatan para sahabat radhiallahu'anhum. Dari Ubadah bin Shamit radhiallahu'anhu, ia berkata: "Rasulullah sallallahu'alahi wasallam ke luar pada Lailat alQadr, ada dua orang sahabat berdebat, Baginda bersabda:
"Aku keluar untuk mengkhabarkan kepada kalian tentang Lailat al-Qadr, tapi ada dua orang berdebat hingga tidak bisa lagi diketahui bilanya: mungkin ini lebih baik bagi kalian, carilah di malam 29,27,25 (dalam riwayat lain: 7, 9 & 5)"[5]
   Telah banyak hadits yang mengisyaratkan bahwa Lailat al-Qadr itu pada sepuluh hari terakhir, yang lainnya menegaskan, di malam ganjil sepuluh hari terakhir.

   Hadits yang pertama sifatnya umum sedang hadits kedua adalah khusus, maka riwayat yang khusus lebih diutamakan dari pada yang umum, dan telah banyak hadits yang lebih menerangkan bahawa Lailat al-Qadar itu ada pada tujuh hari terakhir bulan Ramadhan, tetapi ini dibatasi kalau tidak mampu dan lemah, tidak ada masalah, dengan ini cocoklah hadits-hadits tersebut tidak saling bertentangan, bahkan bersatu tidak terpisah.

Kesimpulannya, carilah Lailat al-Qadr pada 10 malam yang terakhir iaitu pada malam yang ganjil (21,23,25,27,29) dengan perbanyakkan ibadah serta doa meminta keampunan daripada Allah jalla wa 'ala. Sekiranya tidak mampu mencari pada 10 malam terakhir maka carilah pada malam ganjil tujuh hari terakhir iaitu 25,27,29. Selamat beramal, wallahu'alam.


Sumber dan Rujukan:

- Sifat Puasa Nabi pdf

[1] Pendapat-pendapat yang ada dalam masalah ini berbeza-beza, Imam al-Iraqi  telah mengarang satu risalah khusus diberi judul Syarh al-Shadr Bidzikri Lailat al-Qadr, membawa perkataan para ulama' dalam masalah ini.

[2] Sebagaimana dinukil al-Baghawi dalam Syarhus Sunnah, 6/386.

[3] Hadits riwayat Bukhari, 4/225 dan Muslim, 1169.

[4] Hadits riwayat Bukhari, 4/221 dan Muslim, 1165.

[5]  Hadits riwayat Bukhari, 4/232.




Sunday, July 8, 2012

Kekeliruan Tentang Perkara Yang Membatalkan Puasa.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...


Seringkali kita dengar banyak perkara yang boleh membatalkan puasa antaranya memasukkan sesuatu ke dalam rongga. Artikel ini ana ingin menerangkan, benarkah memasukkan sesuatu ke dalam rongga boleh menyebabkan terbatalnya puasa?

Sebenarnya memasukkan sesuatu ke dalam rongga tidaklah membatalkan puasa seperti yang diuar-uarkan oleh sesetengah ustaz dan ustazah. Di sini bukan ana ingin menyalahkan ustaz dan ustazah yang mengajar akan tetapi mungkin kesilapan daripada mereka, sesungguhnya manusia ini lemah seperti ana juga.

Antara contoh-contoh memasukkan sesuatu ke dalam rongga:-

  • Memasukkan pen ke dalam mulut.
  • Mengorek telinga atau membersihkan telinga dengan cotton buds.
  • Mengorek hidung atau membersihkan hidung.
  • Dan yang sewaktu dengannya.
Semua perkara di atas adalah tokoh tambah atau direka-reka dalam perkara membatalkan puasa yang menyusahkan umat Islam. Syeikh Yusuf al-Qardhawi menulis dalam Fiqh Siyam(puasa):


Para ahli fiqh radhiallahu ‘anhum telah memperluas pembahasan hal-hal yang membatalkan puasa sedemikian rupa sehingga saya tidak yakin hal-hal tersebut pernah terfikir di benak seorang jua daripada para sahabat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, yakni orang-orang yang menyaksikan secara langsung penurunan al-Qur’an, yang memahami secara terus pesanan Allah dan Rasul-Nya dengan sebaik-baik pemahaman dan yang berpegang teguh kepadanya dengan sebaik-baiknya.

Banyak ahli fiqh telah memperlebarkan wilayah pembahasan akan hal-hal yang dianggap membatalkan puasa. Para fuqaha Mazhab Hanafi telah menyebut sekitar 57 perkara manakala fuqaha Mazhab al-Syafi‘e tidak kalah banyaknya. Sejumlah ulama’ masa kini bahkan memperincikan hal-hal yang dapat membatalkan puasa secara aneh. Mereka membuat kaedah-kaedah lalu membangun di atasnya cabang-cabang persoalan yang tidak terhitung bilangannya. Namun kaedah-kaedah itu sendiri tidak didasarkan kepada dalil-dalil yang kuat daripada al-Qur’an dan al-Sunnah. Ada di antara mereka yang berkata bahawa kemasukan sesuatu benda, seperti kerikil umpamanya, ke dalam rongga badan orang yang berpuasa akan membatalkan puasanya.
Yang sebenarnya membatalkan puasa hanyalah tiga perkara iaitu bersetubuh, makan dan minum. Allah ‘Azza wa Jalla berfirman:
Maka sekarang (1) setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan (2) makanlah serta (3) minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib). (al-Baqarah 2:187)
Makanan dan minuman yang membatalkan puasa terbahagi kepada dua kategori:
Pertama:
Sesuatu yang mengenyangkan dan/atau menghilangkan dahaga secara hakiki kepada orang yang mengambilnya, sekali pun dalam jumlah yang sedikit.
Apa-apa makanan yang diambil secara sengaja dan sampai ke perut, maka ia membatalkan puasa. Apa-apa minuman yang diambil secara sengaja dan melalui tenggorok, maka ia membatalkan puasa. Apa-apa zat makanan yang dimasukkan ke dalam darah melalui suntikan, umpama glukosa yang diberikan kepada pesakit yang tidak dapat makan dan minum seperti biasa, ia juga membatalkan puasa.( Yang tepat, orang yang sakit sehingga tidak dapat makan dan minum seperti biasa tidak perlu berpuasa kerana keuzuran yang dihadapinya tidak mewajibkan dia berpuasa.)
Maka dengan itu apa-apa benda, makanan atau minuman yang dimasukkan ke dalam rongga-rongga manusia, ia tidaklah membatalkan puasa. Contohnya, memasukkan pen ke dalam mulut, menggosok gigi, berkumur-kumur, membersihkan telinga, mengorek hidung, menggunakan ubat titisan mata, menyedut debu, peneranan yang tidak sempurna ketika membuang air besar dan pelbagai lagi, semua ini tidak membatalkan puasa.
Merasai makanan yang sedang dimasak tidak membatalkan puasa asalkan ia dikeluarkan semula. Baki makanan yang ditemui terselit di celah-celah gigi tidak membatalkan puasa asalkan ia tidak ditelan secara sengaja. Menelan air liur, sengaja atau tidak sengaja, juga tidak membatalkan puasa. Air liur tidak pernah dianggap di sisi manusia yang normal sebagai minuman. Seandainya air liur adalah sejenis minuman, nescaya tidak ada manusia yang mati kehausan jika terdampar di padang pasir.
Demikian juga, mengambil suntikan insulin bagi pesakit kencing manis dan menggunakan alat melegakan pernafasan bagi pesakit asma, ia tidaklah membatalkan puasa.
Timbul persoalan, adakah menelan ubat tanpa disertai apa-apa minuman membatalkan puasa? Contohnya seorang berpuasa yang menghadapi pening kepala, lalu dia menelan dua biji Panadol. Adakah ini membatalkan puasa? Yang benar dia tidak perlu meneruskan puasanya kerana sakit yang dihadapinya adalah salah satu bentuk keuzuran yang membolehkan dia berbuka. Maka berbuka adalah lebih utama daripada menjerumuskan diri ke dalam sesuatu yang diperselisihkan hukumnya.
Kedua:
Sesuatu yang mengenyangkan dan/atau menghilangkan dahaga secara psikologi sekali pun dalam jumlah yang sedikit. Ia bukanlah makanan dan minuman tetapi mengambilnya memberi kesan psikologi berupa kepuasan atau kenikmatan yang mengenyangkan dan/atau menghilangkan dahaga bagi nafsu.
Contohnya ialah orang yang menghisap rokok. Asap rokok bukanlah makanan atau minuman tetapi bagi penghisap rokok, ia adalah suatu nikmat umpama makanan yang memuaskan mereka. Maka menghisap rokok membatalkan puasa. Akan tetapi bagi orang di sekitarnya yang terhisap asap rokok tersebut (secondary smoker), ia tidak membatalkan puasa kerana asap rokok tersebut bukanlah satu nikmat bagi diri mereka.
Tetap pada contoh asap, menyedut asap kenderaan di lalulintas yang sesak tidak dianggap membatalkan puasa. Ini kerana asap kenderaan bagi manusia yang norma, tanpa dibezakan dia penghisap rokok atau tidak, bukanlah suatu nikmat yang memuaskan.
Contoh lain ialah menghisap dadah atau mengambil dadah melalui suntikan. Dadah bukanlah makanan atau minuman tetapi bagi penagih dadah, ia adalah suatu nikmat umpama makanan yang memuaskan mereka. Maka menghisap atau menagih dadah membatalkan puasa.
Dalil bagi apa yang disebut dalam kategori kedua ini ialah hadis daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anh, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda bahawa Allah berfirman (Hadis Qudsi):
Setiap amal anak Adam adalah bagi dirinya…kecuali puasa maka ia adalah untuk Aku dan Aku sendiri akan membalasnya. Dia (anak Adam) meninggalkan makanan kerana Aku dan meninggalkan minuman kerana Aku dan meninggalkan kenikmatan kerana Aku dan meninggalkan isterinya (tidak bersetubuh) kerana Aku.( Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Khuzaimah di dalam Shahihnya – hadis no: 1897 dan sanadnya dinilai sahih oleh Muhammad Mustafa al-‘Azami.)
Yang dimaksudkan dengan meninggalkan kenikmatan bukanlah semua bentuk nikmat seperti tidur, mandi dan sebagainya. Akan tetapi ia adalah nikmat yang terhasil pada diri seseorang seumpama makan dan minum.
Daripada penjelasan di atas, jelas bahawa dalam kebanyakan aktiviti seharian kita yang normal, tidak ada sesuatu yang menyebabkan terbatalnya puasa. Antara hikmah berpuasa adalah mendisiplinkan diri daripada bersetubuh, makan, minum dan sesuatu kenikmatan yang seumpama makan dan minum pada siang hari. Menokok tambah hukum bahawa kononnya memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan membatalkan puasa tidak ditemui dalilnya daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Ia juga tidak memiliki apa-apa peranan mahupun manfaat dari sudut hikmah disyari‘atkan berpuasa.
Dalil yang lazimnya digunakan oleh pihak yang mengatakan batal puasa bagi seseorang yang memasuk sesuatu ke dalam rongga badannya ialah hadis berikut:
Sempurnakanlah wudhu’ dan bersungguh-sungguhlah dalam menyedut air ke dalam hidung (dan menghembusnya) kecuali jika kamu sedang berpuasa.( Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Ibn Majah – hadis no: 333 (Kitab Thaharah, Bab Anjuran menyedut air ke dalam hidung…)
Berdasarkan sabda Rasulullah “…kecuali jika kamu sedang berpuasa” mereka memahami bahawa seseorang itu dilarang menyedut air ke dalam hidung apabila sedang mengambil wudhu’ dalam keadaan berpuasa. Jika dimasukkan air, ia akan membatalkan puasa. Kemudian fahaman ini diluaskan kepada semua rongga tubuh badan berdasarkan analogi (qiyas).
Fahaman ini adalah tidak tepat kerana pengecualian yang dimaksudkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bukan ditujukan kepada menyedut air ke dalam hidung tetapi kepada “bersungguh-sungguh” dalam penyedutan tersebut. Dalam erti kata lain yang dimaksudkan oleh Rasulullah ialah, apabila berwudhu’ dalam keadaan berpuasa, tidak perlu bersungguh-sungguh menyedut air ke dalam hidung kerana dibimbangi sebahagiannya akan masuk jauh ke dalam sehingga sampai ke tenggorok dan ditelan sebagai “minuman.”( Yusuf al-Qaradhawi – Fiqh al-Siyam, ms. 117)
Semoga dengan artikel yang ringkasan ini dapat mengubah persepsi sesetengah masyarakat tentang perkara yang boleh membatalkan puasa ini kerana kadan-kadang perkara yang dianggap remeh boleh menyebabkan masalah yang besar. Wallahu'alam.
Sumber:
"Menelan Air Liur Tidak Membatalkan Puasa" susunan Kapten Hafiz Firdaus bin Abdullah.


Saturday, June 16, 2012

Amalan Di Bulan Sya'ban

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...


Kedatangan bulan Sya'ban semakin hampir, begitu juga dengan bulan yang mulia iaitu bulan Ramadhan yang di mana diwajibkan ke atas seluruh umat Islam untuk berpuasa padanya.

Sebelum memasuki bulan Ramadhan umat Islam akan melalui dahulu bulan Sya'ban kerana ia terdapat amalan yang juga terdapat pada bulan Ramadhan yakni "puasa".

Bukanlah bermaksud bahawa pada bulan Sya'ban diwajibkan kita untuk berpuasa akan tetapi pada bulan ini digalakkan kepada kita untuk berpuasa sebagaimana hadis:
Daripada Aisyah radhiallahu 'anha telah berkata, bahawa Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam biasa berpuasa hingga kami menyatakan baginda tidak pernah berbuka. Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam turut berbuka hingga kami menyatakan bahawa baginda tidak berpuasa. Aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa melebihi jumlah puasanya di bulan Sya'ban. Baginda berpuasa pada bulan Sya'ban keseluruhannya, Baginda berpuasa di bulan Sya'ban kecuali sedikit sahaja. [Shahih Muslim]
 Ummu Salamah radhiallahu 'anha menyatakan bahawa Nabi sallallahu'alahi wasallam tidak pernah berpuasa sebulan penuh kecuali Sya'ban dan diteruskan dengan berpuasa (fardhu) ramadhan. [Sunan Abu Daud]
Yang dimaksudkan oleh kedua hadis yang satunya menyebut berpuasa pada kebanyakan (hari) di bulan Sya’ban, dan hadis yang menyebutkan berpuasa pada keseluruhan Sya’ban, al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan di dalam Fathul Bari: Ia sebagaimana kata Ibn Mubarak bahawa riwayat yang pertama (yang menerangkan berpuasa pada kebanyakan hari bulan Sya’ban) menafsirkan  riwayat yang kedua (yang menyatakan berpuasa keseluruhan Sya’ban), yang mana perkataan ‘keseluruhan’ bermaksud ‘kebanyakan’. [Tuhfatul Ahwazi: Bab Menyambungkan (Puasa) Sya’ban dan Ramadhan]

Apa yang ingin disampaikan ialah perbanyakkanlah amalan dengan berpuasa pada bulan Sya'ban, semoga ibadah kita ikhlas kerana Allah subhanahu wa'ala dan mengikuti Rasul junjungan Muhammad sallallahu'alahi wasallam.

Sumber:
http://www.intisonline.com/artikel/rahsia-di-bulan-syaban

http://www.islamweb.net/newlibrary/display_book.php?idfrom=1318&idto=1319&bk_no=56&ID=522





Monday, May 21, 2012

Salah Faham Tentang Bulan Rejab

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...


Insya-Allah, kali ini ana ingin menulis tentang bulan Rejab yakni antara 4 bulan haram. Dalil mengenai perkara ini berdasarkan Sabda Rasullullah sallallahu'alaihi wasallam Daripada Abu Bakrah:
"Setahun berputar sebagaimana keadaan sejak Allah menciptakan langit dan bumi. Satu tahun itu ada dua belas bulan. Di antaranya ada empat bulan haram (suci). Tiga bulannya berturut-turut iaitu Dzulqaedah, Dzulhijjah dan Muharram. (Satu bulan lagi adalah) Rejab Mudhor yang terletak Jamadil Akhir dan Sya'aban". (HR Bukhari dan Muslim)
 Jadi, berdasarkan hadis di atas 4 bulam haram tersebut ialah Dzulqaedah, Dzulhijjah, Muharram dan Rejab. Akan tetapi sering kali kita dengar tentang kelebihan-kelebihan bulan Rejab berbanding bulan-bulan haram yang lain. Antaranya ialah fadhilat-fadhilat puasa, solat sunat tertentu dan sebagainya. Sedangkan perkara-perkara tersebut tidaklah benar malah hadis-hadis tentangnya juga kesemuanya dhaif jiddan bahkan ada juga maudhu'. Wallahu'alam.

Allah subhanahu wat'ala juga berfirman di dalam kitab-Nya:
"Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah diwaktu  Dia menciptakan langit dan bumi, diantaranya empat bulan haram. Itulah ketetapan agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya agama kamu dalam empat bulan yang empat itu". (at-Taubah: 36)
Tiadalah kelebihan pada bulan Rejab sahaja berbanding bulan-bulan haram yang lain kerana kita diperintahkan supaya berpuasa serta memperbanyakkan melakukan amalan-amalan yang baik pada empat bulan haram ini. Terdapat di dalam hadis shahih bahwa Rasulullah biasa banyak berpuasa pada bulan Sya'ban. Wallahu'alam.

Berkaitan dengan doa yang sering kita dengar apabila masuk bulan Rejab ini, iaitu doanya berbunyi:
                                     "اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغنا رمضان"
         "Ya Allah, berkati kami pada bulan Rejab dan Sya'ban dan sampaikan kami ke bulan Ramadhan"

Hadis munkar bahkan sanadnya dhaif jiddan, ramai ahli hadis menilainya dhaif. Akan tetapi, doa ini bolehlah diamalkan kerana doa ini bersifat bebas dan tidak terikat seperti lafaz zikir yang ma'thur daripada Nabi sallallahu'alaihi wasallam. Ini kerana berdoa dengan hadis yang dhaif lebih utama berbanding doa yang bersifat bebas dan tanpa sanad langsung. Sama juga doa berdasarkan hadis shahih lebih utama berbanding doa daripada hadis yang dhaif atau maudhu'.

Penjelasan yang baik oleh saudara Fathi al-Sakandary berkenaan doa tersebut. Mungkin kita jangan bermudah-mudah terhadap sesuatu dan jangan terlalu keras terhadap sesuatu. Kadang-kadang ana juga sangat keras dalam setiap amalan supaya ia berpandukan petunjuk daripada Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam. Ada orang mengatakan "janganlah halang orang membuat baik". Ana bukan menghalang orang berbuat baik tapi biarlah perbuatan kita berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah dan jangan memandai-mandai buat amalan sendiri. Wallahu'alam.

Akhir sekali, berdasarkan artikel ana ini bulan Rejab sama tara seperti bulan haram yang lain tiada lebih dan kurang sekiranya ada sila datangkan hadis shahih ataupun hassan berkenaan dengan fadhilat tersebut. Apa yang perlu kita lakukan adalah perbanyakkan ibadah pada bulan ini (bulan haram) serta bulan yang seterusnya. Tidak kira anda ingin puasa isnin dan khamis atau berpuasa seperti puasa Nabi Daud 'alaihissalam kerana ia adalah sunnah. Inilah sunnah yang dianjurkan, mohon maaf dan silap sekiranya artikel ini ada mencuit hati sesiapa semoga ia bernilai ibadah di sisi Allah jalla wa 'ala. Wallahu'alam.

Tuesday, May 15, 2012

~Kau kawan Kau Teman~

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...


Siapakah itu "kawan" ? & Siapakah itu "teman" ?

ana sendiri tidak dapat menjawab persoalan ini dengan tepat kerana ia berkemungkinan membawa maksud yang sama atau berbeza. Mungkin para pembaca akan tertanya-tanya 'kenapa bukan sahabat'?

Jangan disalah fahami akan maksud sahabat kerana maksud sahabat yang sebenar berdasarkan kalimah arab "صحابة" adalah bermaksud orang yang bertemu dengan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dalam keadaan beriman dan mati juga dalam keadaan beriman.

Masuk semula kepada topik yang ingin dibincangkan. Ini berdasarkan tafsiran ana, "kawan" ialah umpama pen apabila ia diperlukan kita guna dan apabila tidak diperlukan kita tinggalkan. Boleh juga diumpamakan seperti tisu apabila kita selsema baru menggunakannya apabila sudah digunakan kita terus tinggalkannya. Berdasarkan penafsiran ini "kawan" hanyalah sebagai tempat untuk bersuka-ria dan berseronok berlainan pula dengan "teman".

Penafsiran ana mengenai "teman" pula ialah umpama pakaian kerana kita sangat memerlukannya setiap waktu dan ketika. "Teman" juga boleh ditakrifkan sebagai teman hidup yang akan sentiasa bersama-sama kita sehingga ke hujung nyawa...:P

Tapi bukan ini yang ana ingin bincangkan. Bagi ana, kita sebagai umat manusia amat memerlukan kawan/teman untuk bercerita, bersembang, bergurau dan sebagainya. Tanpa kawan/teman siapalah kita yang hanya bersendirian, kehidupan juga jadi tidak seronok.

Kawan/teman juga harus dicari atau dipilih dengan baik, umpama mencari calon suami atau isteri untuk dijadikan teman hidup. Bukan bermaksud berkawan/berteman untuk dijadikan suami atau isteri tetapi kawan/teman juga adalah antara orang yang akan hidup bersama kita sehingga nafas yang terakhir. Kita bukanlah ingin berkawan/berteman sehari, seminggu, sebulan dan setahun. Akan tetapi kita ingin berkawan/berteman sehingga kita menemui ajal atau bahasa mudah "berkawan/berteman hingga ke syurga".

Kawan/teman yang akan mencorak diri kita untuk menjadi baik atau jahat kerana pengaruh paling kuat dalam kehidupan kita adalah kawan/teman sebagaimana hadis Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dari Abu Musa al-Asy'ari:
“Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk".(HR Bukhari dan Muslim)
Jika buruk seorang kawan/teman itu maka buruklah juga orang yang berkawan/berteman dengannya. Bukanlah bermaksud hadis di atas bahawa kita mesti menjauhi kawan/teman yang buruk perangainya tetapi apabila kita berkawan/berteman dengan seorang yang buruk perangainya orang yang memandang akan menilai bahawa kita juga adalah buruk perangainya. Apabila kita berkawan/berteman dengan seorang yang baik akhlaknya maka orang yang memandang akan menilai bahawa kita juga adalah baik akhlaknya. Inilah sifir mudah bagi masyarakat sekarang. Bagi ana tidak salah ingin berkawan/berteman dengan orang yang buruk akhlaknya akan tetapi jangan pula kita terjerumus kepada akhlak mereka itu. Mungkin kita boleh menasihati mereka supaya mengubah sikap buruk dalam diri mereka dan sekiranya kita berkawan/berteman dengan mereka yang rosak akhlaknya boleh memberi mudharat pada kita, tidak dapat tidak kita menjauhi mereka ini.

Peribahasa melayu ada menyebut "berkawan biar seribu, berkasih biar satu". Kata-kata ini boleh diterima atau ditolak, memang betul kita perlu berkawan/berteman dengan ramai orang supaya kita tidak berasa kosong dengan hidup ini. Di samping itu, kita dapat membezakan sikap setiap manusia kerana setiap manusia ini mempunyai pandangan yang berbeza. Sebagaimana Allah subhanahu wata'ala berfirman dalam surah al-Hujurat ayat 13:
"Hai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa antara kamu. Sesungguhnya Allah maha mengetahui dan maha mengenal".
Kita bukan hanya untuk berkawan/berteman sahaja, saling-memahami dan bantu-membantu juga perlu ada pada diri seorang kawan supaya hubungan antara kawan/teman akan menjadi lebih akrab. Sekiranya kawan/teman kita ada masalah atau perlukan bantuan apa-apa, jangan malu-malu untuk bertanya atau membantu sahabat yang perlukan bantuan tersebut. Kadang-kadang seorang kawan/teman pasti tidak akan memberitahu kita apa masalahnya sekiranya berkait dengan peribadi. Tetapi kita sebagai kawan/teman yang sudah rapat pasti akan dapat mengetahui masalah yang dihadapi seperti masalah duit, pelajaran dan sebagainya. Sekiranya kita merasa apabila kita membantu lebih memburukkan keadaan, tidak perlulah kita membantu yang akan membawa kepada mafsadah yang lebih besar. Kasih sayang dan kecintaan kepada kawan/teman mesti menyamai kasih sayang atau kecintaan kepada diri sendiri sepertimana sabda Rasulullah sallallahu 'alahi wasallam:
"Tidak (sempurna) iman seseorang apabila dia tidak mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri".(HR Muslim)
Sikap bantu-membantu atau tolong-menolong sangat perlu ada pada seorang kawan/teman supaya kita dapat merasai apa yang kawan/teman kita rasai inilah namanya kawan/teman sejati sentiasa bersama kita apabila senang dan susah sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dari Nu'man bin Basyir:
"Perumpamaan kaum muslimin dalam cinta dan kasih sayang di antara mereka adalah umpama satu tubuh. Apabila satu anggota tubuh sakit maka mengakibatkan seluruh tubuh menjadi demam dan tidak mampu tidur".(HR Muslim)
Itulah indahnya ukhuwah antara kawan/teman sekiranya ia berlandaskan al-Quran serta as-Sunnah. Musuh mudah untuk dicari akan tetapi kawan/teman susah untuk dicari. Tafsiran ana bagi rakan pula ialah sepertimana tafsiran ana pada teman, bagi ana ia tidak ada perbezaan dan membawa maksud yang sama. Mohon maaf sekiranya artikel yang ana tulis ini tidak seberapa kerana setiap manusia itu mempunyai sifat lemah dan tidak akan lari daripada melakukan kesilapan. Semoga dengan artikel ini ukhuwah antara kita serta kawan/teman akan lebih akrab. Wallahu'alam.